MENTERI Pertanian, Datuk Effendi Norwawi pernah menyatakan dalam satu seminar di
Langkawi baru-baru ini bahawa petani negara ini perlu melakukan anjakan paradigma dan
perubahan segera jika ingin maju. Ini boleh dilakukan dengan mengambil kaedah penanaman
yang lebih moden menerusi transformasi pertanian daripada mengusahakan secara tradisional
kepada tanaman secara berkelompok menggunakan teknologi moden.
Di Belanda, misalnya, beliau memberi contoh, negara berkenaan hanya mempunyai
kira-kira 100,000 peladang tetapi mampu mencatatkan pengeluaran bernilai AS$250 bilion
(RM950 bilion), sedangkan Malaysia yang mempunyai hampir sejuta orang yang terbabit dalam
pertanian hanya mencatatkan pengeluaran RM25 bilion.
Apakah rahsianya dan mengapa Malaysia tidak boleh menjadi seperti negara Barat atau
mencontohi negara jiran lain yang mana sektor pertaniannya lebih maju. Petani di Belanda
menyumbang secara positif kepada pendapatan negara. Antara kelebihan petani Belanda ialah
mereka menggunakan teknologi pertanian yang tinggi dan mempunyai persatuan atau koperasi
yang mampu menguruskan pengeluaran, pemasaran dan pemprosesan hasil pertanian tanpa
mengharapkan bantuan kerajaan, hingga sampai ke satu peringkat kos pengeluaran dapat
dikurangkan sama sekali.
Selain Belanda, rakyat negara ini juga boleh mempelajari kemajuan sektor pertanian di
Thailand. Mereka mengusahakan pertanian mengikut cara lebih tersusun dan berorientasikan
pasaran eksport. Walaupun kaedah penanaman di negara itu dikatakan setanding Malaysia, ada
antara teknologi negara ini lebih maju daripada mereka, tetapi kita masih perlu mengimport
bahan makanan seperti beras, buah-buahan seperti mangga dan ikan dari negara itu.
Justeru, sistem pertanian negara memerlukan perubahan dari segi pengurusan dan sikap
petani sendiri. Pertanian secara tradisional perlu dikurangkan dan penanaman secara
berkelompok dipertingkatkan. Selain itu, persatuan atau badan yang bertanggungjawab
menyelaraskan pengurusan pertanian perlu memastikan kecekapan mereka untuk melancarkan
operasi. Umpamanya, bagi penanaman padi, persatuan petani atau badan yang cekap
penyelarasannya boleh membantu masyarakat tani meningkatkan pengeluaran dan pada masa
sama, mengurangkan kos pengeluaran.
Kaedah ini dikenal pasti memberi lebih banyak hasil pertanian dan menguntungkan negara
kerana ia dapat mengurangkan kos pengeluaran dan pergantungan kepada makanan import. Dalam
era globalisasi sekarang, penanaman padi contohnya perlu menggunakan kaedah yang lebih
moden dari segi teknologi atau pengurusan, sama seperti komoditi lain yang memberi
keuntungan kepada negara.
Kaedah pertanian berkelompok adalah satu daripada strategi Dasar Pertanian Ketiga (DPN3)
untuk mencukupkan bekalan makanan bagi keperluan dan permintaan domestik di samping
mengurangkan import. DPN3 dianggap landasan paling praktikal bagi Malaysia untuk
melahirkan industri pertanian yang lebih jitu dan mencukupi atau mewujudkan satu industri
yang mampu mengeluarkan bahan makanan yang mencukupi untuk rakyat.
Berdasarkan jumlah import makanan sebanyak RM10.52 bilion tahun lalu berbanding RM5.82
bilion pada 1998, masyarakat tani mengharapkan alaf baru ini akan membawa lebih banyak
manfaat kepada mereka. Malah, menurut perangkaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan
Industri (Miti), sumbangan sektor makanan kepada perolehan negara tahun lalu, iaitu
kira-kira enam peratus membuktikan masih banyak ruang yang boleh diteroka oleh petani
tempatan ke arah memantapkan sektor ini.
Pengarah Pusat Perkhidmatan Teknikal Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian
Malaysia (Mardi), Adinan Hussin, berkata beberapa langkah kerajaan menjayakan matlamat
DPN3 dijangka dapat memenuhi keperluan negara menghasilkan bekalan makanan yang mencukupi
untuk semua orang. Di Mardi sendiri, saintis dan pakar pertanian yang ada sentiasa
berusaha menghasilkan baka benih padi yang lebih baik seperti Q50.
Kejituan benih padi yang baik seperti Q50 boleh dimanfaatkan dengan berkesan jika
satu kaedah penanaman yang bersistematik dan tersusun dapat dilaksanakan. Jika cadangan
untuk mewujudkan konsep penanaman berbentuk perladangan kontrak (secara kerjasama beberapa
pihak) dilaksanakan, ia dapat mengurangkan pergantungan terhadap beras import dalam jangka
masa panjang, katanya pada di Seminar Pertanian Mardi di Bukit Jalil, baru-baru ini.
Katanya, konsep perladangan kontrak dapat meningkatkan jumlah pengeluaran beras secara
berkelompok hasil kerjasama beberapa pihak terbabit secara langsung dengan pengeluarannya
dari peringkat akar umbi. Contohnya, Mardi bertanggungjawab menghasilkan baka padi yang
baik manakala proses penanaman pula dikendalikan oleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas).
Mengikut konsep kaedah itu, buat permulaan satu kawasan sesuai akan dipilih. Bernas akan
bekerjasama dengan Mardi untuk menghasilkan benih padi yang baik dan jika kaedah itu
digunakan oleh petani dan seterusnya hasil yang dikeluarkannya pula baik dan bermutu
tinggi, ia akan dibeli oleh Bernas dengan harga tinggi dan seterusnya mereka akan
bekerjasama untuk mengusahakannya secara komersil.
Keperluan beras meningkat sejajar dengan peningkatan jumlah penduduk negara. Sehubungan
itu, kos pengeluaran padi tempatan juga agak tinggi berbanding kos mengimport beras.
Dengan peningkatan import beras yang menelan belanja purata RM400 juta setahun dan
dijangka terus meningkat pada masa akan datang, sudah tentu ia boleh menjejaskan imbangan
pembayaran negara.
Oleh itu, Mardi sebagai salah satu badan penyelidikan pertanian kebangsaan perlu mencari
kaedah terbaik untuk meningkatkan pengeluaran padi seperti menghasilkan lebih banyak padi
sehingga mencapai 12 metrik tan padi bagi sehektar kawasan.
Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur Mardi, Dr Abdul Shukor Abdul Rahman, berkata
selain menghasilkan baka padi yang baik seperti Q50, langkah fizikal lain boleh digunakan
untuk menambahkan pengeluaran padi dan mengurangkan import beras.
Sehubungan itu, katanya, tanah sawah yang terbiar di kawasan hijau boleh
dipulihkan semula dengan menggunakan kaedah moden, baja yang lebih baik, pengurusan sawah
yang cekap, pencegah serangga yang lebih berkesan dan penghasilan yang tinggi. Antara
kawasan tanah sawah terbiar di luar kawasan hijau ialah di Melaka, Negeri Sembilan dan
Johor boleh dibaik pulih dengan tanaman lain yang mendatangkan hasil yang lebih baik.
Mengenai keperluan ikan pula, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Mazlan
Jusoh, berpendapat semua pihak perlu bekerjasama untuk meningkatkan keperluan dan
permintaan ikan domestik yang mana ketika ini, statistik menunjukkan negara terpaksa
menambah jumlah bahan protin yang diimport bagi memenuhi keperluan penduduk. Pada 1997
saja, jumlah ikan yang terpaksa diimport berjumlah 190.6 tan metrik bernilai RM890.9 juta.
Katanya, industri perikanan adalah punca rezeki kepada kira-kira 80,000 nelayan dan 20,000
penternak ikan. Selaras dengan matlamat DPN3, kerajaan menetapkan sasaran ikan akuakultur
ialah 600,000 tan metrik sehingga 2010 manakala pengeluaran ikan pula sebanyak 1.93 juta
tan metrik. Kegagalan mencapai sasaran itu akan menyebabkan negara terpaksa mengimport
ikan yang banyak untuk menampung permintaan pengguna.
Pada 1998, daripada keseluruhan 1.35 juta tan metrik ikan yang ditangkap, 1.07 juta tan
metrik ikan ialah menerusi perairan pinggir pantai manakala 135,253 tan metrik dari
perairan laut dalam dan 133,647 tan metrik dari akuakultur. Sementara itu, Pegawai
Perhubungan Awam Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Nik Yahya Abdul Rahman, berkata untuk
mengatasi sumber ikan yang semakin pupus, LKIM melakukan beberapa usaha seperti menambah
pembinaan unjam.
Sehingga kini, sebanyak 356 unjam di Laut China Selatan dan Selat Melaka sudah dibina
untuk menggalakkan pembiakan ikan di samping kemudahan lain seperti dua pelabuhan
perikanan di Chendering dan Kuantan serta 25 kompleks pendaratan ikan yang lengkap dengan
kemudahan pengendalian, penyimpanan dan pemasaran.
Kuantiti pendaratan ikan di kompleks terbabit ialah 96,704 tan metrik ikan bernilai
RM305.5 juta pada 1997 menerusi pendaratan 2,165 bot. LKIM juga menggalakkan penternakan
alternatif bagi menggantikan ikan laut yang diimport seperti ikan dalam sangkar, udang
harimau, kerang, kupang dan tiram.
Sektor makanan perlu digerakkan dengan lebih berkesan bagi menjadikannya lebih daripada
sekadar cukup makan atau mampu menampung keperluan bahan makanan domestik.
Sebaliknya sektor makanan perlu menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara. Dengan
peruntukan Belanjawan lebih RM32 billion kepada sektor pertanian bagi tahun 2000, rakyat
mengharapkan sumbangan daripada masyarakat tani yang mewakili petani, penternak dan
nelayan melonjak kepada negara dan diri mereka sendiri.
Sektor itu juga memerlukan suntikan korporat yang dapat membawanya ke era lebih berjaya,
terutama bagi menghadapi cabaran Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang menekankan kepada
kecekapan dan kawalan kos pengeluaran.
Ini bermakna pasaran bebas mudah menguasai hasil pertanian kita jika kita tidak bersedia
dari sekarang menghasilkan bahan pertanian bermutu pada harga yang berdaya saing.