Rezab Melayu
Home ] Fokus ] Komentar ] Interest ] Arkib ] Maklumbalas ]  [Frame]


Currency Control
Recovery
Recovery II
Rezab Melayu
Sumber Bekalan
Syariah Index
Lebihan Dagangan


Last Update:
10 May, 2000

Rizab Melayu perlu dimajukan

29 April 2000
Berita Harian

SHAH ALAM: Pemilik tanah rizab Melayu di Selangor perlu melaksanakan pendekatan lebih praktik untuk menjadikannya setanding dengan tanah lain dari segi nilai dan pulangan.
Menteri Besar, Datuk Seri Abu Hassan Omar, berkata terdapat beberapa kawasan tanah pegangan Melayu yang luas dan strategik boleh dimajukan, terutama di kawasan yang sedang dibangunkan seperti Koridor Raya Multimedia (MSC).
Bagaimanapun, katanya, tanah rizab Melayu itu tidak dibangunkan atas alasan pemilik tanah tidak berupaya dari segi kewangan dan pengalaman serta terdapat tanggapan bahawa nilai pasaran tanah mereka lebih rendah berbanding tanah di luar kawasan rizab Melayu.
Katanya, persepsi itu semakin kritikal dengan wujudnya tanggapan negatif institusi kewangan terhadap tanah rizab Melayu, terutama apabila pemilik mahu membuat pinjaman memajukan tanah mereka.
“Menyedari perkara ini, kerajaan negeri mengambil inisiatif menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pembangunan Tanah Rizab Melayu yang dianggotai wakil dari kerajaan negeri, badan berkanun, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Selangor, Persatuan Bank dan Institusi Kewangan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pembangunan Tanah Rizab Melayu negeri Selangor di Holiday Inn di sini, semalam.
Abu Hassan berkata, sehingga kini ada 159,722 hektar tanah rizab Melayu bersamaan 10 peratus daripada keluasan keseluruhan negeri Selangor yang berjumlah 796,084 hektar.
Katanya, daerah Sabak Bernam mencatatkan keluasan tanah rizab Melayu paling besar iaitu 69,645 hektar diikuti Hulu Langat (16,113 hektar) dan Sepang (15,401 hektar).
“Hampir seluruh tanah rizab Melayu di Selangor adalah tanah pertanian dan dari tahun 1996 hingga 1999 sejumlah 707 permohonan tukar syarat kegunaan tanah diluluskan,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 595 permohonan diluluskan untuk bangunan kediaman, 71 untuk perniagaan, empat untuk kediaman dan perniagaan serta 37 untuk industri.
Katanya, walaupun Selangor adalah negeri termaju dari segi kepesatan pembangunannya, sebahagian besar tanah rizab Melayu masih ketinggalan dari segi infrastruktur dan pembangunan berbanding kawasan di luar rizab Melayu.
“Berikutan itu, kajian perancangan menyeluruh dan komprehensif ke atas tanah rizab Melayu di Selangor perlu dijalankan bagi menentukan konsep pembangunan yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan masa depan selaras dengan kepesatan pembangunan Selangor,” katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri memberikan insentif potongan 50 peratus ke atas premium tambahan dan kadar caruman parit sebagai motivasi kepada pemilik tanah rizab Melayu yang komited untuk membangunkan tanah mereka.
Sementara itu, katanya, anak syarikat kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dan Permodalan Negeri Selangor Berhad sudah diarah untuk mengenal pasti tanah rizab Melayu yang sesuai dibangunkan sama ada untuk projek perumahan, pertanian atau perindustrian.

                     Back Home Next