Tanaman Makanan
Home ] Fokus ] Komentar ] Interest ] Arkib ] Maklumbalas ]  [Frame]


Tanaman Campuran
Tanaman Makanan


Last Update:
10 May, 2000

Usahakan tanaman makanan: PM

Berita Harian
25 April 2000

KUALA LUMPUR, Isnin – Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata, syarikat perladangan perlu membuka minda untuk melihat potensi pengeluaran makanan selain tanaman kelapa sawit dan getah.

Pendana Menteri berkata, orang Malaysia yang ada tanah hanya memikirkan untuk menanam getah atau kelapa sawit, walaupun pulangan komoditi itu sebenarnya lebih rendah, berbanding tanaman lain yang boleh memberi pulangan 20 kali ganda.

“Malah, kita tidak menggunakan sepenuhnya tanah ketika ini. Berikutan itu, kita mengimport terlalu banyak makanan sehingga menjejaskan imbangan dagangan berbilion ringgit.

“Kita rasa masanya sudah tiba bagi kita mengeluarkan tanaman makanan kerana tidak banyak tanah diperlukan kerana kawasan yang sama untuk kelapa sawit dan getah boleh digunakan bagi pengeluaran tanaman lain,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam ucaptama bertajuk Wawasan Baru Mengenai Pertanian pada seminar sehari mengenai peluang pelaburan dalam sektor itu, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian Datuk Effendi Norwawi dan pada majlis itu Perdana Menteri turut berdialog dengan lebih 500 peserta.

Perangkaan menunjukkan Malaysia mengimport makanan bernilai RM11 bilion tahun lalu dan ia dijangka meningkat kepada RM12 bilion tahun ini (2000).

Penumpuan terhadap bidang pertanian selaras Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) yang diperkenalkan sebagai usaha memaksimum sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pendapatan eksport, petani, penternak dan nelayan selain menggurangkan penggantungan kepada bahan makanan import.

Malah, Dr Mahathir berkata, syarikat perladangan boleh mencontohi apa yang dilakukan di Eropah yang mana pusingan tanaman dan penanaman bercampur dilakukan dengan bijak tanpa bergantung kepada tanaman utama saja.

“Kita perlu berbuat begini secara besar-besaran dan ini memerlukan orang yang mempunyai wang. Syarikat perladangan yang mencatat pencapaian baik harus memasuki bidang ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata kerajaan negeri perlu mempercepatkan proses kelulusan permohonan tanah dan memperuntukkan sejumlah kawasan untuk pertanian herba.

“Kerajaan Pusat menerima aduan yang sama daripada pelabur lain berikutan kelulusan untuk memajukan tanah industri dan perumahan juga mengambil masa yang lama,” katanya.

Beliau berkata, soal tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri dan mereka biasanya mengambil masa yang lama untuk kelulusan kerana mempunyai agenda lain.

Dalam sesi dialog dengan peserta, Dr Mahathir berkata, kerajaan menyokong pelaburan sektor swasta dalam bidang pertanian di luar negara kerana ia akan membantu Malaysia meningkatkan keperluan makanan dan mengurangkan ketidak seimbangan import.

Katanya, adalah munasabah bagi syarikat tempatan terbabit dengan pelaburan di luar negara seperti dalam perladangan jagung dan ternakan lembu yang tidak sesuai dilakukan di negara ini.

“Bila kita tidak mampu melakukannya di dalam negeri, kerajaan tidak membantah sektor swasta melabur di negara-negara lain,” katanya sambil menambah, pelaburan itu boleh diusahakan di Argentina.

“Mungkin boleh membeli salah satu daripada tanah ladang itu. Kita mempunyai kapal kita sendiri yang boleh pergi ke sana, angkut jagung dan bawa balik ke sini,” katanya.

Selain itu, katanya, penyelidikan dan pemasaran juga harus dilakukan untuk memperbaiki pengeluaran serta kualiti tanaman oleh sektor swasta dan awam.
Beliau berkata, walaupun banyak penyelidikan dihasilkan agensi penyelidikan, termasuk Institut Penyelidikan d an Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), ia tidak dikomersilkan.

                   Back Home