Tanaman Campuran
Home ] Fokus ] Komentar ] Interest ] Arkib ] Maklumbalas ]  [Frame]


Tanaman Campuran
Tanaman Makanan


Last Update:
10 May, 2000

Strategi bantu pekebun kecil

Berita Harian
26 April 2000

KERAJAAN bercadang memperkenalkan konsep ladang tanaman campuran sebagai strategi serampang dua mata untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan menarik tenaga kerja muda ke dalam kegiatan penanaman getah.

Mesyuarat empat kementerian yang bertemu buat kali kedua di Kuala Lumpur, semalam bagi membincangkan penyelesaian masa depan pekebun kecil getah bersetuju membuat kajian terhadap model ladang tanaman campuran.

Menteri Perusahaan Utama, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, berkata cadangan muktamad belum dapat dibuat kerana keempat-empat menteri yang hadir memerlukan sedikit masa lagi untuk memperbaiki kertas cadangan itu sebelum dikemukakan kepada kerajaan.

Cadangan itu terkandung dalam kertas Penilaian Semula Strategi Pengeluaran Getah Oleh Pekebun Kecil Pada Masa Depan, yang dibentangkan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Azmi Khalid.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Pertanian, Datuk Affendi Norwawi dan Timbalannya, Datuk Anifah Aman serta Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gadam.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu, Dr Lim berkata, konsep ladang tanaman campuran hanya boleh dijayakan dengan penyertaan tenaga kerja muda.

Ini kerana purata umur pekebun kecil di negara ini pada masa sekarang ialah di kalangan mereka yang lanjut usia iaitu 55 tahun ke atas yang mengusahakan antara satu hingga 10 hektar tanah seorang.

Pekebun kecil ditakrifkan sebagai pengusaha yang memiliki tanah antara satu hingga 40 hektar. Ketika industri huluan dan hiliran getah menyumbang RM13 bilion kepada negara tahun lalu, pekebun kecil yang menyumbang 85 peratus dari pengeluaran getah negara, memperoleh purata pendapatan RM25 sehektar sebulan.

“Oleh kerana kita sudah bersetuju bahawa pengeluaran getah masih menjadi industri strategik, kita memerlukan satu strategi baru untuk menarik minat generasi muda memasuki bidang ini,” katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, konsep ladang campuran yang akan diperkenalkan adalah satu konsep radikal yang berlainan daripada tanaman campuran sebelum ini.

Katanya, keluasan tanah terbabit, corak pemilikan tanah dan jenis tanaman yang akan diusahakan bersama-sama tanaman getah belum dapat dinyatakan secara terperinci.

Menurut beliau, ladang tanaman campuran tidak memerlukan pekerja yang ramai, menggunakan teknik torehan yang cekap, dan membolehkan pekerja menumpukan perhatian kepada kepelbagaian tanaman.

Mesyuarat peringkat menteri itu akan diadakan sekali lagi dalam tempoh dua minggu dari sekarang bagi membolehkan cadangan yang diperbaiki itu dibincangkan semula.

Hasilnya akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekebun Kecil yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

  Home Next