TIME Engineering Bhd (Time Engineering) menerusi rancangan penyusunan semula empat
peringkat, akan mengapungkan anak syarikatnya TIME dotCom Bhd (TIME dotCom) dalam tempoh
tidak sampai setahun dari sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (CDRC), Datuk C Rajandram
berkata, langkah seterusnya sekarang adalah meyakinkan kreditor keberhasilan rancangan
itu.
Kami jangka dapat memperincikan rancangan penyusunan semula ini dan mendapatkan
persetujuan kreditor tempoh tiga hingga lima bulan.
Kami akan mula berbincang dengan penasihat bebas dan kreditor mulai Isnin depan,
katanya pada sidang media mengumumkan rancangan penyusunan semula Time Engineering di
Kuala Lumpur, semalam.
Hadir pada sidang media itu, Pengerusi Time Engineering Datuk Shamsir Omar, Pengerusi Time
dotCom Tan Sri Abu Talib Othman, Pengarah Urusan Time dotCom Tan Sri Halim Saad, Pengarah
Urusan Time Engineering Phang Shyue Ming dan Pengurus CDRC, Chris Lee.
Menerusi rancangan penyusunan semula yang dirangka CDRC itu, Time Engineering akan
menerbitkan 150 juta saham baru saham anak syarikat milik penuhnya itu pada harga RM3
sesaham yang akan membolehkannya mengaut RM450 juta untuk membayar kreditor.
Ia juga akan membuat tawaran untuk jualan 300 juta saham kepada pemegang saham Time
Engineering dan orang awam pada harga yang sama, membolehkannya mengumpul RM900 juta.
Sebanyak RM2.1 bilion akan dikumpul menerusi jualan 600 juta saham kepada pelabur
strategik pada harga indikatif RM3.50 sesaham bagi pembayaran balik kepada kreditor.
Selepas selesainya usaha penyusunan korporat dan penyenaraian, TIME dotCom akan mempunyai
modal berbayar yang diperbesarkan kepada RM2.442 bilion daripada RM1.042 juta.
Kepentingan Time Engineering dalam TIME DotCom pula akan berkurangan kepada 53.5 peratus,
Kumpulan Sapura akan memilik 2.5 peratus, kreditor satu peratus, pelabur strategik
24.6 peratus dan orang awam 18.4 peratus.
Sekiranya pelan ini diterima dan berjalan lancar, semua si piutang tempatan dan asing akan
mendapat balik 100 peratus wang pinjaman mereka.
Jumlah hutang luaran (prinsipal dan faedah di atasnya, tidak termasuk denda dan faedah
kemungkiran, dan hutang dalaman syarikat) setakat 31 Disember 1999 adalah RM4.792 bilion,
yang mana RM2.267 bilion adalah hutang bercagar, RM1.308 bilion jaminan korporat dan
RM1.217 bilion tidak bercagar.
TIME dotCom akan disusun semula agar memiliki 100 peratus kepentingan anak syarikat Time
Engineering yang terbabit dalam perniagaan telekomunikasi, iaitu Time Telecommunications
Sdn Bhd (pembekal talian tetap dan komunikasi), Time Wireless Sdn Bhd (pembekal
perkhidmatan telefon selular) Time Reach Sdn Bhd (telefon berbayar) dan TimeSat Sdn Bhd
(satelit dan gelombang mikro).
Hutang dalaman syarikat akan ditukar daripada hutang RM3 kepada RM1 saham berbayar TIME
dotCom.
Sebelum penyusunan semula, Time Engineering memiliki 100 peratus ekuiti Time
Telecommunications, 75 peratus Time Wireless, 100 peratus Time dotCom, 75 peratus Time
Reach dan 100 peratus TimeSat.
TIME dotCom juga akan mendapat jaminan korporat RM130 juta yang diberikan oleh Kumpulan
Sapura kepada kreditor Time Reach Sdn Bhd.
Sementara itu, Pengurus CDRC, Chris Lee berkata, jika rancangan penyusunan ini diterima
kreditor dan berjalan sewajarnya, semua kreditor asing dan tempatan akan m enerima
pembayaran balik 100 peratus hutang mereka.
Katanya, rancangan menang-menang kepada semua pihak itu boleh dicapai tanpa sebarang
langkah penguncupan modal dan juga mewujudkan nilai untuk pemegang saham.
Rajandram berkata, sementara penyenaraian TIME dotCom akan menyaksikan kemasukan rakan
kongsi strategik, ia tidak bermakna rancangan mengukuhkan industri telekomunikasi terabai.
Pengukuhan industri tetap boleh dijalankan menerusi perkongsian talian terutama
penggunaan talian gentian optik di kalangan pengendali, katanya.
Ditanya adakah penyenaraian Time dotCom akan mengalami kesukaran kerana kelulusan belum
diperolehi, Lee berkata, syarikat asal Time dotCom, Time Telecommunications, sudah
mendapat kebenaran untuk diapungkan pada 1997, tetapi tidak diteruskan kerana krisis
ekonomi.
Katanya, TIME dotCom masih berunding dengan penasihatnya dan dengan itu syarikat yakin
akan dapat disenaraikan.