Melayu & Globalisasi
Home ] Fokus ] Komentar ] Interest ] Arkib ] Maklumbalas ]  [Frame]


Attack on Globalisation
Ancaman Globalisasi
Fear to Globalisation
Global Labour
Melayu & Globalisasi


Last Update:
10 May, 2000

Orang Melayu mesti sedia hadapi era globalisasi

Berita Harian
29 April 2000

ERA globalisasi yang melanda dunia ketika ini tidak wajar dimusuhi oleh orang Melayu hanya semata-mata kerana bimbang terhakisnya jati diri Melayu, sebaliknya jati diri masing-masing perlu diperkukuhkan untuk menghadapi dan menanganinya.
Itulah kesimpulan yang dibuat pembentang kertas kerja Simposium Jatidiri Melayu Abad 21 anjuran Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) berdasarkan tajuk Jatidiri Melayu Dalam Pendidikan, Agama dan Sosial yang diadakan semalam.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Firdaus Abdullah, dalam pembentangannya mengemukakan beberapa persoalan mengenai pengukuhan jati diri menghadapi era globalisasi ini.
Persoalan pertama yang dikemukakannya ialah kenapa orang Melayu sekarang perlu mengukuhkan jati diri masing-masing.
Menurutnya, pengukuhan jati diri dalam diri setiap orang Melayu ketika ini amat perlu kerana sifat itu semakin terhakis terutama di kalangan generasi muda.
“Antara ciri-ciri terhakisnya jati diri Melayu yang boleh saya nyatakan di sini ialah keupayaan bercakap dalam bahasa Melayu dengan tepat dan bersih sudah tidak ada.
“Orang Melayu sekarang lebih suka mencampurkan bahasa Melayu dan bahasa asing, bahasa Inggeris terutama dalam satu ayat dan bagi saya jika berlarutan, jati diri Melayu akan hilang,” katanya.
Selain itu beliau turut menggariskan adab sopan hidup bermasyarakat yang semakin dilupakan dan perpaduan yang semakin berkurang juga adalah sebahagian dari ciri-ciri terhakisnya jati diri Melayu.
Persoalan kedua yang ditimbulkan oleh Prof Firdaus ialah apa salahnya jika jati diri Melayu terhakis.
Jawapan yang diberikan ialah keterhakisan itu jika dibiarkan berlanjutan akan memusnahkan jati diri Melayu dan Melayu tidak akan wujud lagi.
“Keterhakisan itu juga akan mengendalakan pencapaian agenda Melayu seterusnya menyebabkan kita terlupa sama sekali agenda itu,” katanya.
Persoalan lain yang turut dibangkitkan ialah bagaimana hendak mengukuhkan jati diri.
Beliau berkata, cabaran utama ialah mengembalikan semula perpaduan orang Melayu yang kini berpecah sama ada kerana perselisihan menentukan hukum atau pendapat politik.
Menurut Prof Firdaus juga, hidup di dalam negara seperti Malaysia sentiasa menuntut orang Melayu berinteraksi dengan golongan bukan Melayu.
“Interaksi itu pula terbahagi kepada dua iaitu interaksi bersifat kerjasama dan interaksi bersifat persaingan.
“Kerjasama itu ialah perkongsian bijak dengan orang bukan Melayu tetapi adakah kerjasama ini benar-benar bersifat perkongsian bijak yang saling menguntungkan?
“Sementara dari segi corak persaingan pula, saya dapati ketika ini ia banyak merugikan orang Melayu,” katanya.

Back Home