GLOBALISASI perdagangan dunia yang menyaksikan syarikat antarabangsa bersaing bagi
mengukuhkan kedudukan masing-masing akan mengancam kuasa kerajaan negara Islam yang
rata-ratanya masih tergolong dalam kategori negara membangun dalam pembuatan dasar
ekonomi.
Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul hamid
berkata, keadaan itu dapat dilihat daripada pengaruh syarikat antarabangsa berkenaan.
Katanya, 300 daripada syarikat antarabangsa terbesar dunia kini menguasai kira-kira 25
peratus daripada aset stok barangan dunia dianggarkan bernilai AS$20 trilion (RM76
trilion) manakala 600 syarikat terbesar yang mempunyai nilai jualan melebihi AS$1 bilion
(RM3.8 bilion) pula merangkumi 20 peratus jumlah nilai ditambah dalam sektor pembuatan dan
pertanian.
Beliau menambah, 20 daripada syarikat antarabangsa terbesar dunia itu pula mempunyai nilai
jualan melebihi jumlah gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 80 syarikat negara
membangun termiskin.
Ini menandakan satu era di mana syarikat dan bukannya negara yang bersaing di dalam
skel antarabangsa sementara kemampuan kerajaan negara membangun untuk menjadi peneraju
dalam pembuatan dasar ekonomi akan terjejas, katanya merasmikan persidangan
antarabangsa mengenai Liberalisasi Ekonomi dan Perdagangan Antarabangsa - Cabaran Kepada
Negara Islam di Kuala Lumpur semalam.
Ahmad Sarji berkata, sehubungan dengan itu, bagi memastikan negara Islam mampu menghadapi
cabaran yang bakal muncul dalam era globalisasi itu, mereka perlulah mencari penyelesaian
dan bertindak dalam kesatuan.
Negara Islam perlu bekerjasama melalui perdagangan, memudahkan pengaliran modal dan
meningkatkan hubungan pengangkutan, katanya.
Oleh itu beliau berkata, kesatuan ekonomi negara Islam sedia ada perlu diperkukuh dengan
meluaskan lagi bidang kerjasama.
Dengan mempunyai kesatuan negara Islam yang kuat, ahlinya akan mempunyai pengaruh
lebih kuat dalam sebarang rundingan dan tindakan, katanya.
Ahmad Sarji berkata, negara Islam boleh mencapai banyak kejayaan jika memutuskan untuk
menerokai secara bersama potensi kerjasama dalam bidang sumber asli, manusia, kewangan,
teknikal dan kapasiti pengeluaran di samping penyatuan pasaran yang mengandungi lebih satu
bilion penduduk dengan pelbagai keperluan.
Katanya, penduduk negara Islam kini mewakili 20 peratus daripada penduduk dunia,
mengeksport 40 peratus daripada keperluan bahan mentah dan memiliki 50 peratus daripada
simpanan minyak dunia.