Denda Akta SC
Home ] Fokus ] Komentar ] Interest ] Arkib ] Maklumbalas ]  [Frame]


Denda Akta SC
DotCom


Last Update:
10 May, 2000

Joseph Chong didenda RM400,000

Berita Harian
26 April 2000

KUALA LUMPUR, Selasa – Bekas Ahli Parlimen Batu, Datuk Joseph Chong Chek, didenda RM400,000 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah bersubahat dengan Westmont Industries Berhad (WIB) bagi mengelirukan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Chong yang sebelum ini tidak mengaku salah, mengubah pengakuannya hari ini. Dia membayar denda itu dengan wang tunai yang dibawa dalam sebuah beg.

Dia didakwa dengan niat menipu bersubahat untuk mengemukakan laporan yang mengelirukan kepada BSKL berhubung hal ehwal WIB, iaitu keputusan kewangan awal tidak diaudit bagi kumpulan itu untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 1996.

Laporan itu bertarikh 31 Mac 1997 dan kenyataan didakwa mengelirukan itu adalah berhubung keuntungan operasi yang disatukan, dicatat sebagai RM74.45 juta.

Chong didakwa mengikut Seksyen 122B(b), dibaca bersama Seksyen 122C(c) Akta Perindustrian Sekuriti yang membawa hukuman maksimum denda RM3 juta atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya.

Chong diwakili peguam K Kumaraendran, V Sithambaram dan C Vijayakumar, manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti Roz Mawar Rozain di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi.

Ahmadi dalam keputusannya berkata, beliau berpendapat hukuman denda memadai bagi kes berkenaan dan keputusan itu dibuat selepas menimbang fakta, pertuduhan, rayuan tertuduh dan hujah pendakwa.

“Pertimbangan juga dibuat terhadap keperluan orang awam yang perlu dilindungi,” katanya.

Mengikut fakta kes yang dibaca oleh Roz Mawar, Chong adalah pengarah urusan WIB sehingga November 1996 dan pengarah urusan anak syarikat Westmont, Sabah Shipyard Sdn Bhd sehingga 16 Oktober 1996.

WIB adalah syarikat pegangan pelaburan yang memiliki sepenuhnya Sabah Shipyard Sdn Bhd.

Roz Mawar berkata, Chong dilantik semula sebagai penasihat eksekutif bagi Sabah Shipyard dari 16 Oktober 1996 sehingga April 1997 dan dibayar gaji RM25,000 sebulan oleh Sabah Shipyard.

Katanya, WIB mengemukakan kepada BSKL keputusan awal yang belum diaudit bagi tahun berkenaan untuk pengumuman yang seterusnya disiarkan kepada umum pada 31 Mac 1997 oleh BSKL.

Keuntungan sebelum cukai bagi Sabah Shipyard untuk tahun berkenaan adalah sebanyak RM80,773,000 dan angka itu tertakluk kepada kelulusan beberapa isu utama yang tertunggak.

Antara isu itu ialah untuk mendapatkan semula hutang tertunggak yang perlu dibayar kepada Sabah Shipyard berjumlah RM299,507,000 dari empat syarikat, iaitu Pearldene Ltd, Melur Arif Sdn Bhd, Westmont Offshore Sdn Bhd dan Westland Asia (M) Bhd.

Roz Mawar berkata, Chong sedar mengenai isu tertunggak itu kerana beliau mengadakan perbincangan dengan wakil firma audit, KPMG Peat Marwick Kota Kinabalu, dan tahu bahawa peluang untuk mendapatkan semula hutang tertunggak bagi Sabah Shipyard agak tipis.

Beliau berkata, berikutan cadangan dan jaminan yang diberikan oleh Chong bahawa hutang tertunggak itu akan diselesaikan, draf akaun Sabah Shipyard yang diaudit digunakan dalam menyiapkan keputusan kumpulan WIB yang disatukan tanpa membuat sebarang peruntukan bagi penjelasan hutang yang meragukan.

Sekiranya peruntukan dibuat bagi penjelasan hutang yang meragukan itu, keputusan awal kumpulan WIB yang belum diaudit akan digambarkan dengan kerugian sekurang-kurangnya RM225 juta.

Chong sebagai orang yang bertanggungjawab bagi operasi Sabah Shipyard, menyebabkan draf akaun syarikat yang diaudit itu dikeluarkan.

Ketika membuat rayuan bagi meringankan hukuman, Kumaraendran memohon mahkamah hanya mengenakan hukuman denda terhadap tertuduh dan tidak hukuman penjara.

“Saya memohon supaya mahkamah hanya mengenakan hukuman denda tidak melebihi 10 peratus daripada maksimum denda iaitu RM3 juta,” katanya.
Ini kerana, katanya, tiada sebarang kerugian terhadap mana-mana pihak dan Chong tidak mendapat sebarang keuntungan daripada kesalahan itu.

Beliau berkata Chong, yang dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu pada 1995, hilang kelayakan menjadi pengarah bagi mana-mana syarikat senarai awam atau syarikat persendirian apabila beliau mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Katanya, Chong juga hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya dan ini memusnahkan masa depan politiknya.

Beliau berkata, maruah Chong juga tercemar di mata masyarakat selain mengalami tekanan perasaan berikutan kes itu.

Kumaraendran memohon mahkamah mengambil kira jasa Chong ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Batu pada 1995.

Roz Mawar bagaimanapun meminta mahkamah mengenakan hukuman denda RM1 juta kerana perbuatan Chong mempunyai kesan tidak langsung terhadap pasaran saham dan sekuriti.

Katanya, hukuman itu setimpal kerana kesalahan yang dilakukan boleh mengeliru pembeli saham yang menyangka sesebuah syarikat itu berada dalam keadaan baik.