SingTel
Home ] Fokus ] Komentar ] Interest ] Arkib ] Maklumbalas ]  [Frame]


Euro & Hedge Funds
Sektor Pertanian
US Dollar
SingTel
Krisis Ekonomi
Takaful vs Insurans


Last Update:
10 May, 2000

Pendirian kemasukan SingTel perlu jelas

Minda Pengarang BH
05 May 2000

DI Dewan Negara Selasa lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Shafie Mohd Salleh berkata, kementeriannya tidak akan mencampuri tawaran jual-beli ekuiti syarikat telekomunikasi tempatan, Time dotCom Berhad (Time dotCom) oleh Singapore Telecommunications Ltd (SingTel) dan Kumpulan Sapura.

Menurut beliau, selagi urusan pembelian ekuiti Time dotCom itu tidak melanggari syarat dan dasar Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC), ia akan dibenarkan.

Lantaran itu, kerajaan akan melihat sama ada Sapura atau SingTel memenuhi syarat serta dasar berkenaan dan jika ia dipenuhi, urus niaga itu akan diteruskan. Bagaimanapun, Shafie berkata, kerajaan akan tetap memberi perhatian mengenai soal ‘kenegaraan’ dalam urusniaga itu.

Sejak media massa melaporkan berita mengenai penjualan ekuiti Time dotCom ini, ia bukan saja men-jadi perhatian pelabur malah rakyat biasa yang peka dengan soal kenegaraan. Barangkali ramai berasa pemilikan ekuiti syarikat tempatan oleh SingTel, boleh membawa banyak masalah khususnya dalam hubungan diplomatik kedua-dua negara walaupun tidak banyak dalam kegiatan korporat yang menjanjikan keuntungan sangat lumayan.

Kita akui Malaysia sejak dahulu lagi tidak pernah menghalang penyertaan asing dalam entiti korporat tempatan. Daripada jumlah pegangan minimum hinggalah 100 peratus, banyak syarikat tempatan kita dimiliki oleh pelabur asing dan yang terkemuka. Kita akur, kemasukan pelabur asing bukan saja dapat membantu dari segi kepakaran pengurusan, malah menyediakan sumber kewangan untuk operasi di samping pemindahan teknologi terkini yang sangat kita alu-alukan. Malah dalam industri telekomunikasi tempatan, beberapa syarikat terkemuka asing kini sudah memiliki sebahagian besar ekuiti syarikat tempatan. Cuma, syarikat asing itu tidak dimiliki secara langsung oleh kerajaan negara mereka, sebaliknya entiti korporat atau konglomerat tertentu.

Bagaimanapun, dalam kes SingTel, ia adalah syarikat milik kerajaan Singapura. Ramai melihat jika penguasaan SingTel ke atas Time dotCom diluluskan, aspirasi dan matlamat nasional dalam usaha membangunkan industri telekomunikasi negara mungkin dipengaruhi oleh pihak lain disebabkan ia mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Dalam hal ini, Malaysia bukan irihati atau mahu me-ngeruhkan hubungan sedia ada dengan Singapura apatah lagi takut untuk bersaing dalam industri. Malah Ma-laysia perlu mengakui dalam banyak aspek dan bidang tertentu, kejayaan Singapura lebih menonjol dan mendahului Malaysia.

Waktu Malaysia hendak ditubuhkan dalam tahun 1963 dulu Tunku Abdul Rahman Putra pernah berkata Singapura akan menjadi pusat perniagaan bagi Malaysia seperti New York dengan Kuala Lumpur sebagai ibu negara seperti Washington DC. Dan berikutan pemisahan republik itu dari Malaysia dua tahun kemudian, ia terus dibangunkan sebagai pusat perdagangan rantau ini.

Kini tidak siapa dapat menafikan kedudukan dan kejayaan Singapura itu. Lantas perkembangan pesat pulau itu sebagai pusat perdagangan utama meletakkan juga Singapura jauh lebih ke hadapan dalam industri perkhidmatan perkapalan, pengangkutan udara dan telekomunikasi.

Seperti Singapura, Malaysia juga giat membangunkan industri multimedianya yang semuanya berpaksi kepada kegiatan telekomunikasi. Kerajaan Malaysia melabur berbilion ringgit membangunkan Koridor Raya Multimedia dalam usaha meletakkan negara ke status negara maju. Atas matlamat itu dan masa depan negara, pelbagai pihak bimbang kesan yang bakal dihadapi jika cadangan pengambilalihan 20 peratus kepentingan Time dotCom oleh SingTel berlaku.

Ada yang berpendapat pihak berkepentingan mengkaji semula penjualan saham berkenaan sebelum sebarang keputusan diambil meluluskan permohonannya.

Kita tidak mahu akan timbul pelbagai prasangka dan rasa tidak puas hati rakyat jika cadangan itu diteruskan. Perlu diakui, hubungan kita dengan Singapura walaupun baik, tidaklah seakrab yang sepatutnya berikutan pelbagai isu yang sehingga hari ini belum dapat diselesaikan seperti isu simpanan wang pekerja rakyat semenanjung dalam Central Provident Fund Singapura. Isu air se-wajarnya menjadi pengajaran kepada kita.

Kebelakangan ini pun banyak perkara yang negatif sehingga me-nimbulkan kemarahan rakyat dan pemimpin Malaysia akibat sikap Singapura yang kelihatan seolah-olah tidak mahu bertolak-ansur.

Dalam hal ini, walaupun kerajaan berkuasa untuk membenar atau menolak pembelian saham itu pada saat-saat akhir, ia perlu bertegas dari awal lagi. Menteri Tenaga Telekomunikasi dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie kelmarin berkata kerajaan mempunyai kata pemutus. Barangkali pendirian awal akan membolehkan mana-mana pihak tidak lagi meneruskan rundingan yang jelas membuang masa jika dipersetujui oleh kedua-dua pihak tetapi akhirnya ditolak kerajaan.

Bagaimanapun, kita yakin selain memenuhi syarat dan prosedur bagi sesuatu pengambilalihan ekuiti, pihak berkuasa Malaysia akan menimbang semasak-masaknya kesan dan manfaat penjualan saham yang strategik kepada syarikat milik sebuah negara asing yang menjadi pesaing hebat kepada kita.

 

Surat Pembaca - Padah kemasukan SingTel

BH
04 May 2000

SEBAGAI anak Malaysia, saya amat bangga dengan kebolehan pemimpin dan rakyat kita menangani krisis ekonomi dengan jayanya hingga kini kita telah dapat mencatat kadar pertumbuhan yang membanggakan.

Dengan pemulihan ekonomi, syarikat-syarikat yang dahulunya parah sekarang semakin pulih dan berbagai transaksi korporat berjumlah ratusan juta mula diusahakan kembali.

Bagaimanapun saya sentiasa was-was dengan bertapaknya syarikat asing dalam syarikat-syarikat korporat kita. Kita seharusnya mengalu-alukan penyertaan mereka khususnya yang berteknologi tinggi bagi membolehkan kita bersaing di pentas dunia dalam suasana globalisasi sekarang ini yang banyak memerlukan tenaga mahir dan pakar.

Namun saya berasa curiga dengan satu perkembangan korporat yang sedang dalam pertimbangan kini, iaitu pembelian 20 peratus saham syarikat Timedotcom oleh sebuah syarikat milik kerajaan Singapura iaitu SingTel.

Saya bukanlah anti-Singapura dan bukan pula antiglobalisasi. Tetapi sebagai anak Malaysia yang mencintai tanah tumpah darah, saya berharap semua yang berkepentingan baik ahli korporat yang terbabit mahupun pihak agensi kerajaan yang memantau hal ini, akan prihatin dengan implikasi perkembangan terakhir ini terhadap keselamatan negara dan masa depan industri strategik seperti telekomunikasi serta multimedia yang kita mahu perkembangkan.

Saya membangkitkan perkara ini kerana sudah dua kali ahli Dewan Negara menyuarakan kebimbangan mereka terhadap pembelian saham dalam syarikat TimedotCom oleh SingTel. Saya pun tertanya-tanya mengapa Kerajaan Hong Kong dikatakan tidak membenarkan SingTel mengambil alih Hong Kong Telecom beberapa bulan lalu.

Soal yang perlu diamati mengenai kemasukan SingTel ialah:

- Apakah implikasinya terhadap matlamat kerajaan hendak menjadikan negara sebagai pusat industri multimedia?

- Adakah bertapaknya syarikat milik sebuah kerajaan asing dalam industri strategik negara tidak akan menjejas (compromise) keselamatan negara? Kita tahu Singapura sememangnya bersaing dengan Malaysia dalam berbagai bidang khususnya telekomunikasi dan multimedia?

Kiranya pihak yang bertanggungjawab pasti penjualan kepada SingTel itu tidak akan menjejaskan hasrat negara bahkan boleh pula membawa keuntungan, tentunya semua rakyat Malaysia tidak akan berhalangan.

Tetapi kita harus ikhlas dengan diri sendiri. Jangan kerana keuntungan jangka pendek, kita menjual maruah bangsa dan negara kerana jika ini berlaku, anak cucu dan keturunan kita akan menyalahkan kita kelak kerana menggadai maruah bangsa kerana wang ringgit.

Baru-baru ini terdapat laporan mengenai langkah yang sedang dilaksanakan perkhidmatan perisikan British untuk memajukan sebuah pusat perisikan maya bagi mengawasi semua e-mel dan mesej Internet yang dihantar dan diterima di Britain. Pusat yang berharga £25 juta itu akan beroperasi dalam masa setahun di ibu pejabat agensi perisikan balas M15 di London.

Jika Britain boleh melakukannya, ini bermakna agensi kerajaan lain pun boleh membuat perkara yang sama jika tidak diawasi dan jika dibenarkan bertapak pula di negara kita. Saya tidak mahu menuding jari atau membuat tuduhan melulu terhadap negara jiran yang bersahabat dengan kita. Cuma, rakyat dan pemimpin kita telah banyak kali menimbulkan keraguan terhadap keikhlasan jiran kita itu dalam banyak perkara dua hala di mana kita masih menghadapi masalah.

Apakah alasan kita untuk mempercayai bahawa mereka akan ikhlas dengan kita kali ini?

Dalam perkara-perkara yang membabitkan masa depan dan keselamatan negara, kita tidak boleh berkompromi. Jika kita mempunyai sedikit keraguan pun, kita tidak boleh berjudi dengan masa depan negara. Janganlah kita bersifat malu alah dalam perkara ini kerana keselamatan serta matlamat jangka panjang demi kesejahteraan rakyat bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan.

Beribu-ribu rakyat kita dan pasukan keselamatan kita telah mengorbankan nyawa melawan penjajah dan komunis supaya generasi akan datang dapat hidup dalam keamanan, kesejahteraan dan tidak dijajah. Kita mahu pihak yang bertanggungjawab, baik korporat atau kerajaan, meneliti dengan sedalam-dalamnya isu ini sebelum membuat keputusan supaya penjajahan ekonomi tidak berlaku terhadap kita kerana ini akan menidakkan pengorbanan wira-wira kita sebelum ini.

Jika kita tidak berhati-hati, generasi akan datang akan menyalahkan kita kerana mengabaikan tanggungjawab kita terhadap bangsa, agama dan negara.

Pro Malaysia,
Kuala Lumpur.

 

Back Up Next