Oleh: SALLEH BUANG
KALAU anda
sudah memiliki rumah yang dibina atas tanah datar
yang kukuh, bersyukurlah. Ada rakyat negara ini yang
punyai nasib tidak begitu baik.
Jika mereka memiliki sebuah kondo mewah, lengkap dengan segala kemudahannya, mungkin kondo itu dibina di lereng atau di puncak bukit.
Apabila hujan turun lebat sehari dua tanpa henti, mulalah mereka tak lena tidur. Andainya pula mereka memiliki rumah di tepian laut atau di gigi air (baik danau, tasik atau sungai), tidak mustahil satu hari tanah di pekarangan rumah mereka akan dihakis atau dilitupi air. Hari ini rumah mereka ada halaman, esok atau lusa, belum tahu.
Awal bulan lalu (Julai 1999), anda mungkin sempat membaca cerita mengenai 700 penduduk Taman Mewah, Kamunting, dekat Taiping, Perak, yang khabarnya gelisah dan bimbang kerana takut musibah akan menimpa mereka. Musibah yang dimaksudkan ialah tanah mendap, yang mengakibatkan bahagian-bahagian tertentu rumah mereka retak dan rosak - termasuklah lantai, dinding, bilik air, bilik tidur, dapur, anjung dan sebagainya. Kerosakan dan keretakan ini mula berlaku tahun lalu (1998).
Dalam kejadian terakhir pada 6 Julai lalu, sebahagian besar tiga unit rumah dalam taman perumahan itu hilang dari pandangan pemiliknya, kerana mendap ditelan bumi. Kejadian yang mengejutkan ini berlaku kerana rumah-rumah berkenaan dibina atas kawasan bekas lombong. Projek perumahan ini, yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri Perak, mula dibina pada 1990.
Sebelum berlakunya 'rumah ditelan bumi' pada Julai lalu itu, rumah-rumah lain di taman perumahan itu telahpun mengalami kejadian yang hampir serupa.
Para pemilik rumah-rumah ini terpaksa terima nasib buruk ini kerana kesilapan mereka sendiri tidak berfikir panjang sebelum membeli rumah yang dibina atas tanah bekas lombong.
Mengikut pemilik rumah yang terlibat, ekoran aduan yang mereka buat kepada pemaju, kerja-kerja pembetulan yang dijalankan hanya setakat touch-up sahaja (iaitu menampal dan mengecat semula tempat-tempat yang retak dan rosak), tidak lebih dari itu. Disebabkan kerja paling minimum itu, masalah kemendapan masih berterusan.
Penduduk taman itu telah juga berusaha meminta pihak-pihak tertentu membantu mereka mengatasi masalah yang mereka hadapi. Misalnya, mereka telah meminta bantuan dan campur tangan dari pihak berkuasa tempatan (Majlis Perbandaran Taiping) dan Biro Pengaduan Awam. Malangnya, setakat ini usaha-usaha mereka itu belum lagi menampakkan apa-apa hasil.
Seperti yang telah diramalkan, kerja-kerja touch-up oleh pemaju tidak meninggalkan apa-apa kesan yang berpanjangan. Dalam masa yang singkat, bahagian-bahagian rumah yang dulunya rosak atau retak kini rosak dan retak kembali. Tak hairanlah penduduk taman itu kini yakin bahawa selagi asas struktur rumah mereka itu masih lemah (tidak kuat) seperti yang diharapkan.
Apabila ditanya oleh para wartawan apa perasaan mereka berhubung kejadian buruk yang berlaku pada 6 Julai lalu itu, pemilik-pemilik rumah di taman itu berkata bahawa mereka merasa amat cemas. Mereka khuatir perkara yang lebih buruk akan berlaku. Mereka khuatir, lambat laun, kehilangan jiwa boleh berlaku.
Mengikut Abdullah Sani, salah seorang penduduk di taman itu, sebahagian besar penduduk di kawasannya itu kini telah mengalami kerugian, kerosakan atau kesulitan, akibat kejadian tanah mendap.
Kata Abdullah, jiran-jirannya terus-menerus membuat aduan kepada pemaju tetapi syarikat pemaju masih berdegil dan bertahan dengan pendirian asal sambil mengatakan - ''Tak usah khuatir. Rumah-rumah ini semuanya selamat''.
Berasaskan apa yang telah berlaku selama ini, penduduk di taman itu tidak percaya lagi kepada kenyataan syarikat pemaju itu. Penduduk di taman itu kini sedar bahawa secara umumnya rumah mereka memang tidak dibina atas asas yang benar-benar kukuh. Dalam keadaan yang membimbangkan ini, tak hairanlah ada penduduk di tanah itu akhirnya berpindah ke tempat lain, ke kawasan perumahan yang tidak dibina atas bekas tanah lombong.
Mohd. Fohimi Musa, seorang penduduk di taman itu, memberitahu wartawan bahawa dia telah pun membuat aduan rasmi kepada Biro Pengaduan Awam, melaporkan secara terperinci apa yang dia dan jiran-jirannya telah alami selama ini. Salinan aduannya itu telah dikirimkan kepada pihak berkuasa tempat, kepada Kementerian Perumahan, syarikat pemaju perumahan dan Kementerian Perdangan Dalam Negeri (bahagian pengguna). Mengikut Fohimi, surat aduannya itu telah dikirimkan pada 1997. Sehingga hari ini, ia masih lagi belum terima apa-apa jawapan.
Andainya apa yang diceritakan Fohimi itu benar, tidakkah ini bermakna bahawa agensi kerajaan berkenaan kurang perihatin kepada rintihan rakyat?
Bahagian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri mungkin berpendapat bahawa masalah ini tidak termasuk dalam bidang tugas mereka, tetapi bagaimana halnya dengan pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Perumahan?
Apakah Kementerian Perumahan sudah lupa dalam Akta Pemaju Perumahan, kementerian itu bertanggungjawab untuk 'melindungi kepentingan pembeli rumah' seperti yang telah diputuskan dalam banyak kes oleh mahkamah negara ini?
Bagi pihak berkuasa tempatan pula, apa lagi yang mereka tunggu sebelum menjalankan sesuatu yang lebih drastik? Apakah mereka mahu tunggu hingga banyak lagi rumah penduduk di taman itu ditelan bumi, mungkin bersama-sama penghuninya sekali?
Seorang penduduk lain, Indran a/l Sinathamby, memberitahu wartawan bahawa dia mengalami kerugian teruk apabila rumahnya rosak disebabkan tanah mendap sedikit masa lalu. Katanya lagi, disebabkan kerosakan dan keretakan yang dialaminya itu begitu teruk sekali sehingga rumahnya itu langsung tidak sesuai dan selamat dihuni lagi, dia terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk membuat kerja-kerja pembetulan. Mujurlah dia ada wang simpanan untuk menampung kos kerja pembetulan itu.
Indran menyesal bahawa wang sebanyak RM42,000 yang dibelanjakan untuk membeli rumah impiannya (dream home) itu sebenarnya telah menghasilkan satu mimpi ngeri (virtual nightmare) kepada seluruh keluarganya. Dia merasa seakan telah ditipu oleh pihak-pihak tertentu. Dia juga berpendapat bahawa selain syarikat pemaju perumahan, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri juga mestilah terima hakikat bahawa mereka juga turut bersalah dalam hal ini.
Kata Indran lagi, masakan pemaju perumahan boleh memulakan projek ini jika kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Taiping tidak meluluskannya terlebih dahulu. Soalnya, kata Indran lagi, apabila pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri meluluskan projek perumahan ini dibina atas bekas tanah lombong, apakah mereka telah menjalankan kerja-kerja siasatan yang rapi untuk menentukan keselamatan rumah yang akan dibina di situ?
Mengikut seorang perancang bandar yang saya temui sedikit masa lalu, pada teorinya tidak salah bagi pihak berkuasa tempatan untuk memberi kelulusan kepada projek perumahan yang dibina atas bekas lombong. - dengan syarat beberapa langkah berjaga-jaga diambil dan dilaksanakan sepenuhnya.
Misalnya, projek raksasa Bandar Sunway di Lembah Kelang dibina atas satu kawasan bekas lombong. Kenapa tidak terdengar apa-apa cerita mengenai tanah mendap di kawasan bandar itu?
Seorang peguam yang saya temui seminggu lalu mengenai kejadian di taman perumahan ini berkata bahawa Kementerian Perumahan sewajarnya mengambil langkah yang lebih pro-aktif dan bersungguh memelihara kepentingan dan keselamatan penduduk di taman itu. Peguam itu berpendapat bahawa peruntukan yang ada sekarang dalam Akta Pemaju Perumahan sudah mencukupi bagi pegawai-pegawai di kementerian itu untuk mengambil langkah-langkah perlu untuk memelihara kepentingan pembeli.
Biasanya apabila perkara buruk berlaku, kecenderungan pihak-pihak yang berkaitan ialah menyalahkan undang-undang yang sedia ada. Jarang sekali pihak-pihak berkenaan akan mengakui kelemahan atau kegagalan sendiri.
Dalam situasi seperti yang terdapat di taman perumahan yang kita ceritakan minggu ini, tak hairanlah bahawa sebahagian besar penduduk di situ merasakan seolah-olah mereka telah tertipu.
Persoalannya kini ialah sama ada pihak berkenaan akan terus tidak mempedulikan rintihan rakyat.