TAHNIAH dan syabas saya ucapkan kepada peguam Mohd. Shakri Razak dan anak guamnya Jabatan Agama Islam Kedah (responden kedua), ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat 5 Mac lalu yang menyebelahi pihak mereka. Dan ucapan terima kasih saya kepada Mahkamah Persekutuan, khususnya Datuk Paduka Mohamed Dzaiddin, kerana membuat penyelesaian yang terbaik mengenai isu murtad yang telah berlarutan (dan merunsingkan masyarakat Islam setempat) selama beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam kes rayuan Soon Singh lwn. Perkim Kedah & Jabatan Agama Islam Kedah (Rayuan Sivil No. 01-61-1993), Mahkamah Persekutuan dikehendaki memutuskan satu ''persoalan undang-undang yang amat penting bagi orang awam'' iaitu mahkamah manakah (mahkamah sivil atau mahkamah syariah) yang ada bidang kuasa mendengar kes-kes murtad?
Perayu dalam kes ini (Soon Singh), yang dilahirkan kepada keluarga Sikh pada 1971, telah memeluk agama Islam semasa berumur 17 tahun di pejabat Perkim Alor Setar pada 1988. Pengislamannya itu kemudian didaftarkan di Mahkamah Syariah Kota Setar di bawah seksyen 13 Enakmen Pentabdiran Undang-Undang Islam Kedah 1962.
Pada 16 Julai 1992, ketika berumur 21 tahun, perayu telah menjalani satu upacara baptism untuk kembali ke agama asalnya di sebuah kuil di Kuala Lumpur. Kira-kira dua minggu selepas itu, dia melaksanakan satu Deed Pool di mana dia mengisytiharkan keluar dari agama Islam (murtad). Pada 2 September tahun yang sama, dia memfailkan satu Saman Pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, memohon satu deklarasi bahawa dia bukan lagi seorang Muslim.
Semasa kes ini mula didengar di hadapan Hakim Wan Adnan di Mahkamah Tinggi, Mohd. Shakri (peguam yang mewakili Jabatan Agama Islam Kedah) telah membangkitkan satu bantahan awalan.
Katanya, Mahkamah Tinggi (mahkamah sivil) tidak ada bidang kuasa mendengar permohonan ini kerana isu murtad tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah. Setelah mendengar hujah peguam bagi kedua-dua pihak, hakim bicara telah memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi tidak ada bidang kuasa mendengar permohonan ini kerana kes ini nyata tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Hakim Wan Adnan memutuskan sedemikian setelah mengambil kira precedent yang ada, iaitu keputusan Mahkamah Agung dalam kes Dalip Kaur lwn. Pegawai Polis Daerah Bukit Mertajam (1992) MLJ 1, khususnya penghakiman Mohamed Yusoff HMA.
Dalam prosiding rayuan ini yang didengar pada Jun tahun lalu, peguam Balwant Singh Sidhu (yang mewakili perayu) telah berhujah bahawa Hakim Wan Adnan telah tersilap ketika membuat keputusannya kerana beliau tidak memberi pertimbangan kepada fakta bahawa pengislaman anak guamnya itu adalah tidak sah, kerana pada masa itu Soon Singh masih berumur di bawah 18 tahun. Peguam telah merujuk kepada keputusan Mahkamah Agung dalam kes Teoh Eng Huat lwn. Kadi Pasir Mas (kes Susie Teoh) yang telah diputuskan oleh Mahkamah Agung pada 1990 lalu.
Selain itu, Balwant juga menghujah bahawa Hakim Wan Adnan telah gagal memberi pertimbangan kepada kehendak Perkara II Perlembagaan Persekutuan, yang menjanjikan kebebasan beragama kepada rakyat negara ini.
Menolak hujah pertama peguam perayu, Hakim Dzaiddin berkata bahawa 4 tahun telah berlalu semenjak Soon Singh memeluk agama Islam. Dalam tempoh yang panjang ini, perayu kekal sebagai seorang Muslim dan terus mengamalkan ajarannya, walaupun ketika itu dia telah dewasa (mencapai umur 18 tahun).
Tidak ada keterangan langsung yang menunjukkan dia ada mempertikai atau mempersoal isu pengislamannya. Oleh yang demikian, Mahkamah Persekutuan puas hati bahawa Soon Singh memeluk agama Islam dengan penuh kerelaannya sendiri.
Mengenai isu kedua yang dibangkitkan oleh peguam perayu, iaitu isu kebebasan beragama di bawah Perkara II Perlembagaan Persekutuan, Hakim Dzaiddin menyatakan bahawa mengikut rekod perbicaraan yang ada di hadapannya, adalah kurang jelas sama ada isu ini ada dibangkitkan di hadapan hakim bicara.
Berasaskan penghakiman bertulis yang ada, kata Hakim Dzaiddin lagi, hakim bicara hanya menyatakan pendapatnya (expressing an opinion) dan tidak membantu apa-apa keputusan yang muktamad bahawa perayu masih kekal sebagai seorang Muslim selepas upacara penolakan (keluar) Islam itu. Oleh itu, soal pelanggaran Perkara II (1) Perlembagaan langsung tidak timbul.
Hakim Dzaiddin mencadangkan supaya perayu menunggu keputusan permohonannya dahulu sebelum dia membangkitkan isu ini. Atau sebagai ganti, dia boleh memfailkan satu tindakan berasingan (yang baru) memohon perisytiharan bahawa pengislamannya itu melanggar Perkara II(1) Perlembagaan.
Peruntukan Khusus Dalam Enakmen:
Satu persoalan yang amat penting yang dibangkitkan dalam rayuan ini berkisar kepada kedudukan Enakmen Pentabdiran Undang-Undang Islam yang ada pada masa ini di negeri-negeri.
Mengikut Hakim Dzaiddin, semua negeri ada membuat peruntukan dalam enakmen mereka mengenai ''kemasukan'' ke agama Islam. Tetapi hanya tiga negeri sahaja (Pahang, Negeri Sembilan dan Kelantan) yang ada membantu peruntukan secara khusus dalam enakmen mereka tentang ''keluar'' dari agama Islam atau murtad (apostasy).
Sebagaimana kita telah maklum, disebabkan ketiadaan peruntukan khusus itulah maka kemelut undang-undang yang kita hadapi ini kini menjadi berlarutan. Disebabkan ketiadaan peruntukan khusus itulah maka selama ini wujud perbezaan pendapat (dan perbezaan pendekatan) di antara kalangan hakim-hakim Mahkamah Tinggi mengenai isu ini.
Hakim Dzaiddin sendiri mengakui perkara ini. Misalnya, dalam kes Ng Wan Chan lwn. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (1991) 3 MLJ 487 (No. 2), Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa disebabkan Enakmen Pentabdiran Undang-Undang Islam Selangor 1952 (yang pada masa itu dipakai untuk Wilayah Persekutuan) tidak mengandungi peruntukan nyata mengenai isu ini, permohonan plaintif mendapatkan perisytiharan bahawa mendiang suaminya itu seorang penganut agama Buddha semasa dia meninggal dunia boleh didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi kerana Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa mendengar kes itu.
(Dalam kes itu, walaupun ada bukti bahawa si mati pernah semasa hayatnya memeluk agama Islam, Mahkamah Tinggi tetap berpendapat ia ada bidang kuasa mendengar dan memutuskan kes itu disebabkan tidak ada peruntukan nyata dalam Enakmen yang menyatakan kes itu tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah. Akhirnya, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa si mati meninggal dunia sebagai seorang penganut Buddha).
Misalnya lagi, dalam kes Lim Chan Seng lwn. Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (1996) 3 CLJ 231, Hakim Abdul Hamid memutuskan bahawa disebabkan tidak terdapat apa-apa peruntukan yang nyata mengenai isu ini dalam Enakmen Pentabdiran Undang-Undang Islam Pulau Pinang, beliau telah memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi ada bidang kuasa mendengar kes murtad.
Kesimpulannya, ketiadaan peruntukan nyata dalam enakmen negeri itu bermakna Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa mendengar kes itu, dan disebabkan Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa, Mahkamah Tinggi tidak dilarang oleh Perkara 121 (1A) mendengar kes itu.
Dalam pada itu, tidak semua hakim Mahkamah Tinggi membuat pendekatan yang sama. Misalnya, dalam kes Md. Hakim Lee lwn. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (1998) 1 MLJ 681, Hakim Kadir Sulaiman membuat pentafsiran yang lebih liberal ketika memutuskan isu ini.
Beliau memutuskan bahawa walaupun Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 tidak membuat apa-apa peruntukan nyata mengenai isu murtad ini. Setelah mengambil kira maksud yang tersirat di sebalik Senarai Negeri di Jadual Kesembilan dan pindaan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah ada bidang kuasa mendengar kes murtad.
Ketika mengulas keputusan kes Hakim Lee ini, Hakim Dzaiddin berkata bahawa adalah nyata bahawa dalam kes itu Hakim Kadir Sulaiman telah mengambil pendekatan yang luas dan liberal, berbeza dengan pendekatan atau pentafsiran yang keras atau sempit yang dibuat oleh Hakim Abdul Hamid dalam kes Lim Chan Seng.
Bidang kuasa Secara Implikasi:
Di halaman 23 penghakimannya, Hakim Dzaiddin membuat satu saranan yang perlu diberi perhatian serius oleh semua badan perundangan negeri. Kata beliau, sambil mengulangi kata-kata yang sama yang pernah diucapkan oleh Hakim Hashim Yeop Sani dalam kes Dalip Kaur, peruntukan undang-undang yang nyata hendaklah dibuat dalam semua enakmen negeri berhubung perkara murtad ini supaya tidak berlaku lagi kesulitan pentafsiran di mahkamah sivil di negara ini di masa-masa akan datang.
Walaupun, mengenai persoalan sama ada Mahkamah Syariah ada bidangkuasa mendengar kes murtad bila peruntukan yang nyata mengenainya tidak terdapat (belum dibuat) dalam enakmen negeri, Hakim Dzaiddin menegaskan bahawa walaupun peruntukan seperti itu tidak terdapat secara khusus di dalamnya, ia masih ''boleh dibaca secara implikasi'' dengan adanya peruntukan nyata mengenai kemasukan Islam.
Kata Hakim Dzaiddin lagi, di halaman 24 hingga 25, apabila bidang kuasa diberi secara khusus kepada Mahkamah Syariah untuk memutuskan perkara-perkara yang ada hubung kait dengan memeluk agama Islam, sudah semestinya perkara-perkara yang ada hubung kait dengan murtad juga boleh dibaca secara tersirat atau implikasi di dalamnya dan oleh itu termasuk di dalam bidang kuasanya.
Petunjuk Baru:
Saya dimaklumkan bahawa selain kes Soon Singh ini, ada beberapa kes murtad lain yang kini ''menunggu giliran'' untuk didengar dan diputuskan (diperingkat rayuan) oleh Mahkamah Persekutuan. Difahamkan bahawa kes ini dilihat oleh kalangan pengamal undang-undang sebagai satu kes ujian (test case) mengenai isu ini.
Sementara kita turut menggesa badan perundangan negeri supaya memberi perhatian serius kepada saranan Mahkamah Persekutuan dalam kes ini, kita juga harap semua Hakim Mahkamah Tinggi (sivil dan syariah) sama-sama mengambil pengajaran dan ingatan dari keputusan yang dianggap terbaik mengenai isu murtad ini.
Oleh: SALLEH BUANG