Hakim perlu banyak bersabar

Oleh: SALLEH BUANG
TAHNIAH kepada Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah (JKMS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah mengambil inisiatif menggubal Kod Etika Hakim Mahkamah Syariah (Kod Etika), seperti yang diumumkan oleh Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman pada hujung minggu lalu. (Lihat Utusan Malaysia 10 Oktober 1999 ).

Walaupun Sheikh Ghazali ada menyebut bahawa Kod Etika itu sama atau serupa dengan Kod Etika Hakim Mahkamah Sivil (misalnya mengenai waktu kehadiran di pejabat, cara berpakaian dan sebagainya), saya kira hakim-hakim Mahkamah Syariah sedar bahawa apa yang telah mereka pelajari mengenai adab al-qadi berlandaskan hukum syarak adalah jauh lebih luas dan terperinci berbanding Kod Etika itu.

Sarjana undang-undang Barat biasanya menyebut mahkamah sebagai court of law. Ini berbeza dengan pandangan sarjana Islam yang menyebut mahkamah itu sebagai court of justice. Saya rasa persepsi yang berbeza ini kerana dalam Islam, kita diingatkan seperti berikut: Dan hendaklah engkau jalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau turut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. ( Surah al-Ma'idah, ayat 49)

Dengan lain perkataan, mahkamah adalah tempat kita menegakkan keadilan selaras dengan hukum Allah, bukan membuat keputusan mengikut kehendak hawa nafsu (telunjuk) sesuatu pihak tertentu.

Hakim Perlu Sabar

Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa seorang hakim itu tidak boleh membuat apa-apa keputusan secara terburu-buru tanpa terlebih dahulu mendengar kedua-dua pihak dan meneliti segala keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pihak-pihak yang bertikai itu. Mengikut satu riwayat, semasa Nabi hendak menghantar Sayidina Ali sebagai hakim ke Yaman, baginda ada menasihatkan Ali seperti berikut: -

Apabila dua pihak tampil di hadapanmu, jangan kamu putuskan sehingga kamu dengar terlebih dahulu apa yang akan dikatakan oleh kedua-dua pihak. Adalah wajar kamu pastikan sejelas-jelasnya terlebih dahulu apa yang akan kamu putuskan. - (Sunan Abu Dawud, Kitab Al-Aqdiyyah).

Saya teringat kepada hadis di atas apabila diberitahu oleh seorang sahabat tentang pengalamannya di sebuah Mahkamah Sivil beberapa tahun lalu.

Mengikut sahabat saya ini, pada satu pagi dia hadir di Mahkamah Rayuan untuk membentangkan hujah lisannya bagi pihak anak guamnya. Mengikut prosedur mahkamah, sebelum suatu rayuan itu didengar, peguam kedua-dua pihak dikehendaki mengemukakan hujah bertulis serta ringkasan hujah itu (juga secara bertulis) kepada Mahkamah Rayuan.

Apa yang selalu berlaku ialah pada hari rayuan itu didengar, peguam kedua-dua pihak juga akan diberi peluang oleh panel hakim rayuan untuk membuat hujah secara lisan - sama ada untuk menarik perhatian panel hakim kepada perkara-perkara yang terdapat dalam hujah bertulisnya itu ataupun untuk memberi penekanan kepada perkara-perkara lain yang difikirkan perlu oleh peguam itu bagi maksud menyokong rayuan anak guamnya (atau mematahkan hujah pihak lawan).

Apa yang membuat sahabat saya itu terkilan ialah sebaik sahaja sampai gilirannya untuk berdiri dan membuat hujah secara lisan kepada panel hakim, ia diberitahu bahawa dia tak payah membuat apa-apa hujah lagi secara lisan, kerana mahkamah sudahpun membuat keputusannya.

Elakkan Kecelakaan

Satu natijah daripada sistem adversarial yang diamalkan di negara ini ialah tidak mustahil ada pihak-pihak yang mengambil sikap mesti menang bicara at whatever cost. Kejadian begini biasa berlaku di beberapa negara Barat, di mana pihak-pihak berkenaan akan menggunakan segala kepintaran mereka untuk mengalahkan (memusnahkan kes) pihak lawan, supaya pihaknya (atau anak guamnya) akan menang di akhir perbicaraan.

Kita biasa dengar orang berkata suatu pihak itu kalah (atau menang) atas sebab-sebab teknikal atau kerana tersilap prosedur.

Dalam Islam, pendekatan yang boleh kita ambil ialah mengambil pengajaran daripada hadis Rasullullah s.a.w berikut:

Aku adalah hanya seorang manusia biasa dan apabila kamu kemukakan pertikaianmu kepadaku, sesetengah di antara kamu mungkin lebih pintar bercakap (berhujah) berbanding yang lain, lalu aku beri keputusan menyebelahimu berasaskan apa yang aku dengar darimu. (Ingatlah) apa pun sahaja yang aku putuskan untukmu yang mana sebenarnya adalah hak bagi pihak yang lain, hendaklah jangan kamu terima, kerana apa yang aku beri kepadamu itu hanyalah satu percikan daripada api neraka. - (Sunan Abu Dawud, Kitab Al-Aqdiyyah).

Daripada hadis di atas, jelaslah bahawa kemenangan menerusi tipu helah atau kemenangan hasil kepintaran kita berhujah mengalahkan pihak lawan, kejayaan mendapatkan sesuatu dari pihak lawan yang sebenarnya kita tidak berhak ke atasnya adalah suatu yang perlu kita jauhi dan tinggalkan.

Kemenangan sedemikian itu hanya membawa kepada kecelakaan di akhirat nanti.

Tugas Hakim

Khalifah Umar (Khalifah kedua dalam Islam) pernah pada satu ketika melantik Abu Musa Al-Ashari sebagai hakim. Berikut adalah sebahagian daripada nasihat (pesanan) Umar kepada hakim itu:-

Bidang kuasa hendaklah dilaksanakan berasaskan apa yang terkandung dalam al-Quran dan Sunah. Pertama, fahami betul-betul apa yang dikemukakan di hadapanmu sebelum kamu membuat sebarang penghakiman. Layanan sama rata hendaklah diberi kepada semua pihak, dalam hal keadaan tempat duduk yang disediakan untuk mereka di hadapanmu dan dalam hal bagaimana kamu melihat kepada mereka dan menentukan bidang kuasa kamu. Cara itu, orang yang berkedudukan tinggi (kuat) tidak akan mengharapkan kamu melakukan kezaliman manakala orang yang berkedudukan rendah (lemah) tidak akan putus asa dengan keadilanmu.

Kewajipan hakim memberi layanan sama rata kepada kedua-dua pihak yang tampil di hadapannya ini bermakna bahawa pada prinsipnya mahkamah hanya boleh memutuskan kes apabila kedua-dua pihak ada di hadapan hakim dan diberi peluang yang sama untuk mengemukan kes mereka masing-masing. Ia juga bermakna bahawa hakim perlu menjaga diri supaya tidak condong atau berat sebelah, memberi layanan yang istimewa kepada suatu pihak, melebihi layanan yang diberi kepada pihak lain.

Jangan Tergesa-gesa

Selain menjaga diri supaya tidak condong kepada mana-mana pihak, sabar mendengar kedua-dua pihak dengan teliti, memberi layanan yang sama rata kepada kedua-dua pihak, Islam juga menghendaki hakim tidak membuat keputusannya secara terburu-buru.

Di sebuah mahkamah sivil tidak beberapa lama dulu, seorang peguam telah mendesak hakim bicara untuk menangguhkan prosiding yang sedang berlangsung pada hari itu dan mengambil masa secukupnya sebelum membuat keputusannya (sama ada untuk meluluskan atau menolak satu permohonan yang dikemukakan oleh peguam itu). Malangnya, hakim berkenaan telah menolak pandangan peguam itu. Sambil memberitahu peguam bahawa dia (hakim) telah pun menimbangkan sepenuhnya isu yang dibangkitkan itu, dia menegaskan bahawa dia tak perlu masa lebih lanjut lagi untuk memikirkan perkara itu. Dengan itu dia terus mengumumkan keputusannya menolak permohonan peguam itu tanpa menangguhkan perbicaraan untuk memikirkan lebih lanjut lagi keputusannya.

Dalam Islam, kita mengambil pengajaran daripada satu kisah mengenai Nabi Daud. Dalam Surah Sad, ayat 21-25, ada cerita tentang Nabi Daud yang telah tersilap membuat satu keputusan secara tergesa-gesa apabila didatangai dua pihak yang bertikai di hadapannya. Tak lama selepas itu, Nabi Daud insaf bahawa dia telah melakukan satu kesilapan besar. Setelah menyedari kesilapannya, Nabi Daud terus meminta Allah mengampunkan dosa dan kesilapannya.

Jika seorang Nabi Allah sendiri boleh tersilap kerana membuat kerja dengan tergesa-gesa, inikan kita manusia biasa. Justeru, seorang hakim perlu banyak bersabar, dan sebelum dia membuat sebarang keputusan, dia perlu mengambil masa yang secukupnya.

© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my