Pembunuhan Melissa: Ibu saman kerajaan

Oleh: SALLEH BUANG
RABU lalu, 15 Disember 1999, ibu kepada Audrey Melissa Bathinathan (gadis 17 tahun yang telah diserang, dirogol kemudian dibunuh ketika dalam perjalanan ke sekolah), telah memfailkan tuntutan ganti ruginya (berasaskan undang-undang kecuaian) terhadap guru besar sekolah Audrey dan Kerajaan Malaysia. Mayat Audrey dijumpai pada satu tempat sunyi kira-kira 300 meter dari sekolahnya pada 18 Mei lalu).

Pasupathy Raj, Guru Besar Sekolah Menengah Perempuan Methodist (di mana Audrey bersekolah) dinamakan defendan pertama, manakala Kerajaan Malaysia (selaku majikan Pasupathy) dinamakan defendan kedua. Dalam tuntutannya itu, ibu Audrey, Margaret Francis (42 tahun), telah menuntut ganti rugi khas RM4,500 sebagai kos pengkebumian, RM10,000 kerana bereavement (kehilangan anak) dan RM450 sebagai kos post mortem.

Selain itu, Margaret juga menuntut gantirugi am (general damages), ganti rugi teruk dan teladan (aggravated and exemplary damages), faedah dan kos - yang kesemuanya ini perlu ditaksir dan ditentukan oleh mahkamah nanti andainya plaintif berjaya membuktikan kesnya terhadap defendan.

Kecuaian

Dalam tuntutannya, ibu Audrey mendakwa bahawa kedua-dua defendan memikul tanggungjawab untuk memastikan keselamatan Audrey. Dia mendakwa bahawa kematian Audrey itu berpunca daripada kegagalan atau kecuaian defendan melaksanakan kewajipannya itu.

Dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan di Mahkamah Tinggi (Bahagian Sivil) di Wisma Denmark pada Rabu lalu itu, Margaret (selaku wakil mendiang anak gadisnya) mendakwa, antara lain, bahawa:

(a) defendan gagal mengambil kira dan menimbangkan beberapa aduan yang dibuat oleh pelajar-pelajar sekolah berhubung masalah keselamatan mereka ketika datang ke sekolah dan balik dari sekolah;

(b) defendan gagal mengambil langkah-langkah pencegahan yang perlu untuk memastikan bahawa keselamatan pelajar sekolah terjamin;

(c) defendan gagal membuat laporan atau memberi maklumat kepada Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) sekolah dan kepada pihak polis berhubung dua kejadian di mana keselamatan pelajar telah diancam kira-kira dua minggu sebelum Audrey dibunuh;

(d) defendan gagal mengambil tindakan (berhubung keselamatan pelajar) yang sepatutnya dilaksanakan oleh seorang guru besar sekolah;

(e) defendan gagal menyemak (memastikan) kehadiran pelajar pada Mei 17 (sehari sebelum mayat Audrey dijumpai); dan

(f) defendan gagal memaklumkan plaintif bahawa Audrey tidak hadir di sekolah pada Mei 17 tersebut.

Margaret juga mendakwa bahawa Kerajaan Malaysia gagal mewujud dan melaksanakan satu sistem keselamatan sekolah yang sesuai dan berkesan.

Mahu Keadilan

Dalam berita muka depannya, sebuah akhbar harian petang (Khamis 16 Disember lalu) melaporkan Margaret sebagai berkata bahawa apa yang dikehendaki olehnya ketika memfailkan tuntutannya itu hanyalah keadilan. "I just want justice", kata Margaret kepada wartawan akhbar selepas memfailkan tuntutannya itu.

Plaintif juga merayu kepada beberapa rakan sekolah anak gadisnya itu supaya bersedia tampil memberi keterangan di mahkamah nanti. Dia berharap rakan-rakan anak gadisnya itu akan dapat menghubunginya secepat mungkin dan bersedia membantunya membuktikan kesnya terhadap kedua-dua defendan.

Sehingga tuntutan ibu Audrey ini difailkan di mahkamah, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum lagi mengumumkan apa-apa perkembangan terkini berhubung siasatan mereka tentang kes pembunuhan Audrey ini. Pada 25 Mei lalu, mahkamah majistret telah mengeluarkan perintah reman 14 hari ke atas dua lelaki berumur 20 dan 28 tahun, tetapi kedua-dua mereka kemudiannya telah dibebaskan.

Elemen Kecuaian

Sama ada ibu Audrey akan berjaya ataupun tidak dalam tuntutannya terhadap kedua-dua defendan bergantung kepada kemampuannya mengemukakan keterangan atas imbangan kebarangkalian di mahkamah nanti. Untuk tujuan itu, plaintif perlu mengemukakan saksi (atau bukti) yang relevan dan boleh diterima (admissable) oleh mahkamah yang dapat membuktikan bahawa:

(a) kedua-dua defendan ada duty of care (kewajipan berhati-hati) terhadap Audrey, iaitu kewajipan memastikan keselamatan Audrey semasa datang ke sekolah dan pulang dari sekolah;

(b) kedua-dua defendan telah gagal atau cuai melaksanakan kewajipannya itu;

(c) kegagalan dan kecuaian defendan itu telah menyebabkan keselamatan Audrey terjejas (menyebabkan kematian Audrey);

(d) (sekalipun terbukti ada kewajipan tersebut dan ada pelanggaran atau kecuaian kewajipan itu) kematian Audrey itu tidak merupakan satu konsekuens yang terlalu jauh (remote) daripada sisi undang-undang - dalam bahasa mudah, kematian Audrey itu merupakan satu natijah yang boleh diramalkan (foreseeable) berpunca daripada kecuaian defendan.

Sistem Keselamatan Sekolah

Selain memberi pertimbangan kepada elemen-elemen kecuaian seperti yang disebutkan di atas, saya kira satu perkara penting yang akan diberi perhatian oleh mahkamah selanjutnya ialah 'sistem keselamatan sekolah'.

Tanpa berniat membuat sebarang ramalan mengenai kesudahan kes Audrey yang sudah menjadi subjudice ini, apa yang pasti ialah ia akan menjadi salah satu kes terpenting dalam alaf baru mengenai undang-undang kecuaian negara ini.

Bagi para pentadbir sekolah atau pelajar undang-undang yang berminat mengetahui lebih mendalam mengenai isu sistem keselamatan sekolah dan hak-hak pelajar di sisi undang-undang, kunjungilah laman web ERIC Clearinghouse On Urban Education di http://eric-web.tc.columbia.edu/digests/dig121.htm di mana terdapat suatu rencana yang menarik bertajuk School Safety And The Legal Rights of Students. Laman web yang sama juga ada menyenaraikan lain-lain sumber mengenai perkara ini.

© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my