DI bawah Kanun Keseksaan, jenayah seks disebutkan dalam beberapa seksyen yang berasingan.
Jenayah rogol (rape) misalnya dimuatkan dalam Seksyen 375, manakala hukumannya (penjara tidak kurang dari 5 tahun dan tidak melebihi 20 tahun), disebutkan dalam Seksyen 376.
Dari takrifnya yang dibuat secara khusus, rogol hanya boleh dilakukan oleh seorang lelaki ke atas seorang perempuan. Intipati jenayah rogol ialah satu hubungan seks yang dilakukan tanpa kerelaan sebenar oleh pihak perempuan. Andainya perempuan yang menjalin hubungan seks itu masih di bawah umur 16 tahun, Kanun Keseksaan masih menganggapnya satu jenayah rogol, walaupun perempuan itu penuh rela dan mengambil peranan aktif dalam hubungan seks itu.
Di bawah Kanun Keseksaan yang berkuat kuasa di negara kita pada masa ini, rogol tidak boleh dilakukan oleh seorang wanita terhadap seorang lelaki.
* Luar tabii
Seksyen 377 hingga 377E pula mengandungi 6 peruntukan berasingan mengenai jenayah luar tabii (unnatural offences), menjalin hubungan seks (carnal intercouse) dengan binatang adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 377, dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum dengan penjara tidak melebihi 20 tahun, denda dan dikenakan hukuman sebat.
Hubungan seks antara sesama lelaki (homoseks) adalah juga satu kesalahan jika fakta kesnya menepati takrif jenayah yang disebutkan dalam Seksyen 377A.
Seksyen ini menyatakan bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang itu membuat hubungan seks (sexual connection) dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur atau mulut ''seseorang lain'' (tak kira atau perempuan). Jika pasangan penjenayah itu seorang lelaki, perbuatan sedemikian dipanggil ''homoskes'', manakala jika pasangannya perempuan, ia dipanggil ''heteroseks''.
Di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan, kedua-dua perbuatan itu adalah salah, dan jika sabit kesalahan, ia boleh dihukum di bawah Seksyen 377B dengan penjara tidak melebihi 20 tahun, dan hendaklah juga disebat (shall also be liable to whipping).
Di bawah Seksyen 377C, jika penjenayah yang melakukan jenayah di luar tabii itu tadi melakukannya secara paksa, iaitu tanpa izin atau kerelaan pihak lain (pasangannya), misalnya dengan mengugut akan membunuh atau mencederakan orang itu atau orang lain jika ia tidak menurut segala kehendaknya, penjenayah itu hendaklah dihukum penjara tidak kurang dari 5 tahun dan tidak melebihi 20 tahun; selain itu, ia juga hendaklah ditekankan hukum sebat.
Jika kita bandingkan kedua-dua peruntukan di atas tadi (Seksyen 377B dan Seksyen 377C), nyatalah bahawa hukuman bagi penjenayah yang melakukan jenayah seks luar tabii itu berbeza dari aspek had minimum hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya.
Perbezaan ini bergantung kepada keadaan fakta kes - sama ada perbuatan jenayah itu dilakukan dengan kerelaan pasangannya ataupun sebaliknya.
* Melampau
Di bawah Seksyen 377D, adalah menjadi satu kesalahan jika seorang itu melakukan, membantu atau menyebab dilakukan, atau mencuba melakukan, satu perbuatan kelucahan melampau (gross indency) dengan orang lain. Perbuatan ini boleh dilakukan sama ada di tempat awam atau di tempat yang tersembunyi (in public or in private). Jika sabit kesalahan, perbuatan sedemikian boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun.
Jika kita bandingkan Seksyen 377D ini dengan peruntukan-peruntukan lain sebelumnya, kita boleh lihat bahawa kesalahan di bawah Seksyen 377D ini adalah kesalahan yang agak ringan sedikit. Sebab itulah maksimum hukuman penjara yang boleh dikenakan hanyalah 2 tahun, berbanding 20 tahun bagi kesalahan di bawah Seksyen 377C dan 377D.
Seksyen 377E, iaitu peruntukan terakhir dalam kumpulan jenayah luar tabii ini, mentakrifkan kesalahan seorang itu yang cuba mempengaruhi atau memujuk (incites) seorang kanak-kanak di bawah umur 14 tahun untuk melakukan perbuatan kelucahan melampau (gross indencency) dengannya. Jika sabit kesalahan, orang itu boleh dihukum penjara tidak melebihi 5 tahun dan hendaklah juga disebat.
Akhbar-akhbar tempatan Ahad lalu melaporkan berita muka depan mengenai dua orang lelaki, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dan Dr. Munawar Ahmad Anees, yang dijatuhi hukuman penjara 6 bulan setiap orang. Hukuman ini dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ke atas kedua-dua mereka setelah mereka mengaku salah terhadap tuduhan melakukan kelucahan melampau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Munawar dikatakan melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Setia Murni 1. Bukit Damansara, manakala Sukma dikatakan melakukan perbuatan itu di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri.
Yang agak luar biasa sedikit dalam ke sini ialah walaupun pendakwaan ini dibuat oleh Pendakwa Raya dengan matlamat mendapatkan hukuman di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan (iaitu hukuman bagi perbuatan kelucahan melampau). Tuduhan terhadap (OKT) itu lebih relevan kepada Seksyen 377A.
Pertuduhan itu menyebutkan, antara lain ''Bahawa kamu...telah melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memasukkan zakarnya ke dalam dubur kamu.
Saya tak berhasrat untuk mempersoal kewibawaan dan budi bicara Pendakwa Raya untuk memilih apa sahaja pertuduhan yang pada hematnya paling sesuai bagi sesuatu kes itu. Beliaulah yang lebih maklum mengenai selok-belok fakta dan hal keadaan sesuatu kes, termasuklah kes terhadap kedua-dua OKT tersebut tadi.
Namun begitu, saya masih tertanya-tanya memandangkan fakta kes yang menjadi asas pertuduhan itu, dan pembentangan fakta kes terhadap OKT oleh pendakwa di muka pengadilan boleh dikatakan menepati sepenuhnya, kehendak Seksyen 377A (yang boleh dihukum di bawah Seksyen 377B atau 377C).
Mengapakah kedua-dua OKT hanya dituduh di bawah Seksyen 377D? Andainya kedua-dua OKT dituduh di bawah Seksyen 377A (yang boleh dihukum di bawah Seksyen 377B), apakah mereka masih sanggup mengaku salah?
Oleh: SALLEH BUANG