Mahkamah Syariah tiada kuasa?

PADA 8 Julai 1998, Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan telah membuat satu keputusan yang agak mengejutkan apabila ia enggan mendengar kes yang dikemukakan kepadanya atas alasan bahawa ia tidak ada bidang kuasa berbuat demikian.

Dalam kes rayuan yang dimaksudkan itu, Jumaaton & Raja Delila lawan Raja Hizaruddin, perkara yang dipertikai di antara perayu dengan responden ialah harta pusaka peninggalan si mati, Allahyarham Raja Nong Chik Raja Ishak, usahawan Melayu yang agak terkenal juga di Lembah Klang. Semasa hayatnya, si mati ada menubuhkan Arensi Holdings (M) Sdn. Bhd. (Arensi), sebuah syarikat yang kemudiannya disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur. Apabila si mati meninggal dunia pada 10 Februari 1994, lebih 11 juta unit saham syarikat didaftarkan atas nama responden.

Semasa hayatnya si mati mempunyai dua orang isteri dan sepuluh orang anak. Perayu pertama dan kedua adalah balu kedua si mati dan anak hasil pernikahan kedua itu, manakala responden adalah anak si mati dari balu pertama. Secara ringkas, apa yang dituntut oleh kedua-dua perayu ialah saham dalam Arensi yang kini didaftarkan atas nama responden itu adalah sebenarnya harta pesaka peninggalan si mati dan bukan harta mutlak responden, oleh itu hendaklah dibahagi-bahagikan kepada semua waris si mati mengikut hukum faraid. Penentang telah menafikan tuntutan itu.

Pada 17 Disember 1996, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur (Mahkamah Sivil) membuat satu perintah (atas persetujuan semua waris si mati) bahawa Amanah Raya Berhad (AMB) dilantik sebagai pentadbir harta pesaka si mati secara terhad selama empat bulan mulai dari tarikh perintah itu. Apabila kes tuntutan pembahagian harta pusaka si mati ini mula dikemukakan di hadapan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, dua isu awalan telah dibangkitkan, iaitu:

(a) Sama ada kedua-dua perayu dalam kes ini ada locus standi untuk memfailkan kes ini terhadap responden kerana mereka bukan pentadbir harta pesaka si mati dan tidak mendapat apa-apa wakalah dari semua waris lain untuk mewakili mereka dalam tuntutan itu, dan

(b) Sama ada Mahkamah Syariah ada bidang kuasa mendengar tuntutan ini dan mengeluarkan perintah atau membuat keputusan seperti yang dipohon oleh perayu.

Setelah mendengar hujah peguam bagi kedua-dua pihak, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan bahawa Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa mendengar kes itu mengikut seksyen 46(b) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993. Oleh yang demikian, tuntutan itu telah ditolak.

Terkilan dengan penolakan tuntutan mereka, kedua-dua perayu kemudian mengemukakan rayuan mereka ke Mahkamah Rayuan Syariah (MRS). Dalam keputusannya setebal 12 halaman, Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan (selaku Pengerusi Panel Rayuan), Datuk Sheikh Ghazali Ab. Rahman, menyatakan di halaman 6 penghakimannya bahawa undang-undang mengenai probet dan surat mentabdir harta dimasukkan dalam Senarai Persekutuan (Senarai 1, jadual ke-9, Perlembagaan Persekutuan) dan bukan dalam Senarai Negeri (Senarai 2, Jadual yang sama). Justeru, beliau membuat kesimpulan bahawa ''Badan Perundangan Negeri dan Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa atau bidang kuasa dalam perkara probet dan surat mentadbir harta itu.''

Sheikh Ghazali seterusnya menegaskan, di halaman yang sama, bahawa ''Sungguhpun semua pihak dalam kes ini adalah orang Islam, namun demikian kuasa untuk mentadbir harta pusaka telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi (sivil). Ini disebabkan oleh kerana perkara probet dan surat mentadbir pusaka diletakkan di bawah senarai kuasa perundangan Persekutuan (Senarai 1 Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan) dan tidak dikecualikan bagi orang Islam. Oleh kerana itu, undang-undang mengenai probet dan pentadbiran pusaka terdapat dalam Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (Akta 97).''

Sambil mengakui bahawa Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan memang ada bidang kuasa berhubung dengan wasiat, wakaf, nazar, pembahagian dan pewarisan harta berwasiat dan tak berwasiat dan pemutusan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka di bawah seksyen 46(2) Akta 505 yang disebutkan di atas tadi, Ketua Hakim tetap dengan pendiriannya bahawa ''oleh kerana perkara-perkara itu biasanya terlibat dengan probet dan surat mentadbir pusaka, pertikaian mengenai perkara-perkara itu perlu diselesaikan di Mahkamah Sivil, yang diberi kuasa mengenai probet dan mentadbir pusaka itu''.

Selanjutnya beliau mengingatkan di halaman yang sama, bahawa ''Apabila seorang Islam meninggal dunia dan meninggalkan harta, tindakan perlu diambil untuk mendapatkan probet atau surat mentabdir pusaka dari Mahkamah Sivil'' dan apabila pertikaian timbul mengenai perkara-perkara yang disebutkan dalam seksyen 46(2), ia 'biasanya diselesaikan di Mahkamah Sivil dalam perkara probet dan surat mentabdir pusaka itu''.

Di penghujung penghakimannya, Ketua Hakim Syarie itu menyatakan bahawa sambil dia ''mengalu-alukan usaha peguam syarie bagi perayu untuk mencuba meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah'', dia merasa ''dukacita tidak dapat menerima dan meluluskan hujahnya selagi terdapat sekatan-sekatan yang telah disebutkan mengenai kuasa Mahkamah Sivil dalam perkara probet dan pentadbiran harta pusaka yang diberi kepadanya oleh Perlembagaan Malaysia dan Akta Probet dan Pentadbiran 1959''.

Kesimpulan yang dibuat oleh MRS Wilayah Persekutuan dalam kes ini ialah bidang kuasanya mengenai ''pembahagian dan perwarisan harta'' orang Islam (dinyatakan secara spesifik dalam seksyen 46 Akta 505) itu ''disekat'' oleh rangkai kata ''probet dan surat pentadbir harta'' yang terdapat pada senarai persekutuan Perlembagaan Persekutuan. (rujuk perenggan 4(e) Senarai 1 Jadual ke-9). Apakah kesimpulan ini berasas?

Mengikut amalan biasa masa kini, apabila seorang rakyat negara ini meninggal dunia dengan meninggalkan wasiat, wasiat itu lazimnya ada menamakan atau melantik orang tertentu menjadi wasi (executor) harta si mati.

Biasanya, sebaik sahaja urusan pengkebumian selesai, kewujudan wasiat si mati akan diumumkan dan kandungannya didedahkan oleh peguam yang bertindak mewakili si mati semasa hayatnya. Ekoran pengumuman (atau pembacaan) kandungan wasiat ini, semua pihak yang terlibat akan mengetahui siapakah wasi yang dinamakan dan siapa pula waris-waris si mati. Tugas utama wasi ialah ''mendapatkan probet'' menerusi satu ''tindakan probet''.

Dalam bahasa mudah, ini bermakna wasi akan melantik peguam untuk membantunya mendapatkan pengesahan dari mahkamah sivil bahawa wasiat si mati itu adalah sah dan dia (wasi) disahkan kuasanya untuk mentadbir harta pesaka si mati.

Dalam Islam, hak membuat wasiat terhad kepada satu pertiga sahaja daripada harta milik si mati, dan itupun hanya boleh diberi kepada bukan waris. Selebihnya, harta si mati itu hendaklah dibahagi-bahagikan mengikut faraid kepada waris-waris yang sah. Oleh itu, jika si mati itu orang Islam yang ada meninggalkan wasiat dan ada melantik wasi, tugas wasi (selain melaksanakan wasiat si mati melibatkan hartanya sehingga had maksimum yang dibenarkan) ialah juga mempastikan bahawa baki harta si mati yang tidak boleh diwasiatkan itu dibahagi-bahagikan kepada waris-waris si mati mengikut hukum faraid.

Andainya pula, seorang itu meninggal dunia tanpa wasiat (ataupun jika ia ada membuat wasiat, dokumen itu akhirnya diputuskan oleh mahkamah sebagai sesuatu yang tidak sah), soal perlantikan wasi atau tindakan probet tidak timbul. Dalam keadaan sedemikian, waris-waris terdekat si mati akan mengambil daya usaha melantik salah seorang di antara mereka untuk memohon dan mendapatkan surat kuasa mentabdir harta si mati (letters of administration). Saya difahamkan bahawa dalam kes Jumaaton ini, si mati tidak meninggalkan apa wasiat.

Pendek kata, matlamat utama Akta Probet dan Pentabdiran ialah mewujudkan satu prosedur yang lengkap (yang dikawal selia oleh Mahkamah Tinggi Sivil) bagi mempastikan bahawa waris-waris si mati mendapat bahagian-bahagian mereka yang betul dari harta pusaka peninggalan si mati.

Dari pembacaan saya tentang fakta kes ini, isu substantif yang dipertikai oleh kedua-dua pihak ialah siapakah sebenarnya pemilik saham yang berjumlah lebih 11 juta itu? Adakah saham itu, yang kini didaftarkan atas nama responden, harta miliknya sendiri secara mutlak atau adakah responden hanya pemegang amanah bagi pihak ayahnya, si mati? Jika saham itu harta milik mutlak responden, isu pembahagian harta tidak timbul.

Jika saham syarikat itu sebenarnya harta milik si mati manakala responden adalah hanya seorang pemegang amanah bagi pihak si mati (seperti yang didakwa oleh perayu), saham itu hendaklah dibahagikan-bahagikan mengikut hukum syarak.

Dengan lain perkataan, persoalan utama yang perlu diputuskan oleh mahkamah ialah apakah saham syarikat itu suatu harta amanah (trust property) ataupun tidak? Untuk memutuskan persoalan ini, soalnya ialah apakah Mahkamah Syariah ada bidang kuasa ataupun tidak?

MRS Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa ia tidak ada bidang kuasa mendengar kes Jumaaton ini kerana walaupun bidang kuasanya mengenai pembahagian harta pusaka itu ada diperincikan dalam seksyen 46 Akta 505 itu, bidang kuasanya itu telah ''disekat'' oleh rangkai kata ''probet dan surat mentabdir harta'' yang terdapat dalam senarai persekutuan, manakala rangkai kata yang sama secara literal tidak wujud dalam senarai negeri.

Untuk menguatkan lagi keputusannya, mahkamah itu merujuk kepada amalan masa kini di mana semua kes probet dan surat mentadbir harta dirujuk ke mahkamah sivil dan tidak ke mahkamah syariah.

Pada hemat saya, pendekatan sebegini tidak boleh dipertahankan. Kewujudan rangkai kata tertentu dalam senarai persekutuan tidak sewajarnya dianggap sebagai kata pemutus yang konklusif untuk mengeluarkan atau menyingkirkan bidang kuasa mahkamah syariah.

Sayugia diperhatikan bahawa selain rangkai akta ''probet dan surat mentadbir harta'', perenggan 4(e) senarai persekutuan itu juga mengandungi rangkai kata yang lain, seperti berikut: (i) perkahwinan, perceraian dan taraf anak; (ii) harta dan taraf perempuan bersuami; (iii) umur dewasa; (iv) pengambilan anak angkat; (v) pewarisan harta berwasiat dan tidak berwasiat; (vi) sumpah dan ikrar; (vii) undang-undang keterangan.

Seperti kita sedia maklum, apabila sesuatu kes difailkan di mahkamah syariah di mana salah satu isu dalam item (i) hingga (vii) ada berbangkit, kita dapati bahawa jika kes itu melibatkan orang Islam sahaja dan peruntukan mengenainya memang terdapat dalam mana-mana enakmen undang-undang Islam negeri, mahkamah syariah tidak pernah menyatakan ia tidak ada bidang kuasa mendengar dan memutuskannya.

Dan apabila mahkamah syariah telah memutuskan, berasaskan peruntukan enakmen negeri yang sedia ada, bahawa ia ada bidang kuasa mendengar dan memutuskan sesuatu kes yang difailkan di hadapannya, secara automatis mahkamah sivil sudah hilang bidang kuasanya mengikut Perkara 121(IA) Perlembagaan Persekutuan.

Memang betul rangkai kata ''probet dan surat mentabdir pusaka'' dalam senarai persekutuan itu tidak terdapat secara literal atau khusus dalam senarai negeri, tetapi pada hemat saya, intipati maknanya yang sama boleh didapati dalam rangkai kata ''pembahagian harta'' yang terdapat dalam perenggan 1 senarai negeri.

Atas premis sedemikian, pada hemat saya rangkai kata ''pembahagian harta'' itu sepatutnya sudah memadai bagi mahkamah syariah menyatakan ia bidang kuasa, apatah lagi bila bidang kuasa ini diperuntukkan lagi secara khusus dan nyata oleh seksyen 46 Akta 505 itu.

Dalam membaca, mentafsir dan memahami maksud dan matlamat Perlembagaan Persekutuan, saya rasa wajar bagi kita memberi pertimbangan sebaik mungkin kepada satu keputusan yang dibuat oleh Hakim Raja Azlan Shah (pada masa itu) sejak tahun 80-an lagi, iaitu dalam kes Datuk Menteri Othman bin Baginda lawan Datuk Omi Syed Alwi (1981) 1 MLJ 29. Dalam keputusannya, beliau menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan merupakan satu undang-undang tersendiri dan tidak ada tolok bandingnya (sui generis) dan ia tidak boleh dibaca seperti kita membaca statut lain. Perlembagaan Persekutuan memerlukan pembacaan, pentafsiran dan pemahaman yang liberal dan tidak terlalu ketat.

Pada hemat saya, apabila Mahkamah Syariah berdepan dengan dilema dalam menentukan sama ada ia ada bidang kuasa ataupun tidak dalam sesuatu kes yang dikemukakan kepadanya oleh orang Islam di negara ini, pendekatan yang sepatutnya diambil ialah selagi enakmen negeri ada membuat peruntukan mengenainya, bidang kuasa itu hendaklah dilaksanakan, dan pendirian sedemikian hendaklah dipertahankan sehinggalah sebaliknya dibuktikan kepada mahkamah. Pembuktian sebaliknya itu berlaku apabila pihak yang menentang atau mencabar bidang kuasa mahkamah syariah itu dapat membuktikan sehingga mahkamah puas hati, bahawa enakmen negeri itu tidak sah, misalnya jika ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Saya rasa dalam kes Jumaaton ini, isu tidak sahnya Seksyen 46 Akta 505 langsung tidak timbul. Maka bertanyalah hati kecil saya, apakah Mahkamah Syariah kita masih merasa kurang bertenaga atau kurang yakin disebabkan bayang-bayang mahkamah sivil? Wallahu a'lam.

Oleh: SALLEH BUANG