Euro & Hedge Funds Sektor Pertanian US Dollar SingTel Krisis Ekonomi Takaful vs Insurans
Last Update:
10 May, 2000
| |
Pendirian kemasukan SingTel perlu
jelas
Minda Pengarang BH
05 May 2000
DI Dewan Negara Selasa lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Shafie Mohd Salleh
berkata, kementeriannya tidak akan mencampuri tawaran jual-beli ekuiti syarikat
telekomunikasi tempatan, Time dotCom Berhad (Time dotCom) oleh Singapore
Telecommunications Ltd (SingTel) dan Kumpulan Sapura.
Menurut beliau, selagi urusan pembelian ekuiti Time dotCom itu tidak melanggari syarat dan
dasar Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC), ia akan dibenarkan.
Lantaran itu, kerajaan akan melihat sama ada Sapura atau SingTel memenuhi syarat serta
dasar berkenaan dan jika ia dipenuhi, urus niaga itu akan diteruskan. Bagaimanapun, Shafie
berkata, kerajaan akan tetap memberi perhatian mengenai soal kenegaraan dalam
urusniaga itu.
Sejak media massa melaporkan berita mengenai penjualan ekuiti Time dotCom ini, ia bukan
saja men-jadi perhatian pelabur malah rakyat biasa yang peka dengan soal kenegaraan.
Barangkali ramai berasa pemilikan ekuiti syarikat tempatan oleh SingTel, boleh membawa
banyak masalah khususnya dalam hubungan diplomatik kedua-dua negara walaupun tidak banyak
dalam kegiatan korporat yang menjanjikan keuntungan sangat lumayan.
Kita akui Malaysia sejak dahulu lagi tidak pernah menghalang penyertaan asing dalam entiti
korporat tempatan. Daripada jumlah pegangan minimum hinggalah 100 peratus, banyak syarikat
tempatan kita dimiliki oleh pelabur asing dan yang terkemuka. Kita akur, kemasukan pelabur
asing bukan saja dapat membantu dari segi kepakaran pengurusan, malah menyediakan sumber
kewangan untuk operasi di samping pemindahan teknologi terkini yang sangat kita
alu-alukan. Malah dalam industri telekomunikasi tempatan, beberapa syarikat terkemuka
asing kini sudah memiliki sebahagian besar ekuiti syarikat tempatan. Cuma, syarikat asing
itu tidak dimiliki secara langsung oleh kerajaan negara mereka, sebaliknya entiti korporat
atau konglomerat tertentu.
Bagaimanapun, dalam kes SingTel, ia adalah syarikat milik kerajaan Singapura. Ramai
melihat jika penguasaan SingTel ke atas Time dotCom diluluskan, aspirasi dan matlamat
nasional dalam usaha membangunkan industri telekomunikasi negara mungkin dipengaruhi oleh
pihak lain disebabkan ia mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.
Dalam hal ini, Malaysia bukan irihati atau mahu me-ngeruhkan hubungan sedia ada dengan
Singapura apatah lagi takut untuk bersaing dalam industri. Malah Ma-laysia perlu mengakui
dalam banyak aspek dan bidang tertentu, kejayaan Singapura lebih menonjol dan mendahului
Malaysia.
Waktu Malaysia hendak ditubuhkan dalam tahun 1963 dulu Tunku Abdul Rahman Putra pernah
berkata Singapura akan menjadi pusat perniagaan bagi Malaysia seperti New York dengan
Kuala Lumpur sebagai ibu negara seperti Washington DC. Dan berikutan pemisahan republik
itu dari Malaysia dua tahun kemudian, ia terus dibangunkan sebagai pusat perdagangan
rantau ini.
Kini tidak siapa dapat menafikan kedudukan dan kejayaan Singapura itu. Lantas perkembangan
pesat pulau itu sebagai pusat perdagangan utama meletakkan juga Singapura jauh lebih ke
hadapan dalam industri perkhidmatan perkapalan, pengangkutan udara dan telekomunikasi.
Seperti Singapura, Malaysia juga giat membangunkan industri multimedianya yang semuanya
berpaksi kepada kegiatan telekomunikasi. Kerajaan Malaysia melabur berbilion ringgit
membangunkan Koridor Raya Multimedia dalam usaha meletakkan negara ke status negara maju.
Atas matlamat itu dan masa depan negara, pelbagai pihak bimbang kesan yang bakal dihadapi
jika cadangan pengambilalihan 20 peratus kepentingan Time dotCom oleh SingTel berlaku.
Ada yang berpendapat pihak berkepentingan mengkaji semula penjualan saham berkenaan
sebelum sebarang keputusan diambil meluluskan permohonannya.
Kita tidak mahu akan timbul pelbagai prasangka dan rasa tidak puas hati rakyat jika
cadangan itu diteruskan. Perlu diakui, hubungan kita dengan Singapura walaupun baik,
tidaklah seakrab yang sepatutnya berikutan pelbagai isu yang sehingga hari ini belum dapat
diselesaikan seperti isu simpanan wang pekerja rakyat semenanjung dalam Central Provident
Fund Singapura. Isu air se-wajarnya menjadi pengajaran kepada kita.
Kebelakangan ini pun banyak perkara yang negatif sehingga me-nimbulkan kemarahan rakyat
dan pemimpin Malaysia akibat sikap Singapura yang kelihatan seolah-olah tidak mahu
bertolak-ansur.
Dalam hal ini, walaupun kerajaan berkuasa untuk membenar atau menolak pembelian saham itu
pada saat-saat akhir, ia perlu bertegas dari awal lagi. Menteri Tenaga Telekomunikasi dan
Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie kelmarin berkata kerajaan mempunyai kata pemutus.
Barangkali pendirian awal akan membolehkan mana-mana pihak tidak lagi meneruskan rundingan
yang jelas membuang masa jika dipersetujui oleh kedua-dua pihak tetapi akhirnya ditolak
kerajaan.
Bagaimanapun, kita yakin selain memenuhi syarat dan prosedur bagi sesuatu pengambilalihan
ekuiti, pihak berkuasa Malaysia akan menimbang semasak-masaknya kesan dan manfaat
penjualan saham yang strategik kepada syarikat milik sebuah negara asing yang menjadi
pesaing hebat kepada kita.
|
Surat Pembaca - Padah kemasukan
SingTel
BH
04 May 2000
SEBAGAI anak Malaysia, saya amat bangga dengan kebolehan pemimpin dan rakyat kita
menangani krisis ekonomi dengan jayanya hingga kini kita telah dapat mencatat kadar
pertumbuhan yang membanggakan.
Dengan pemulihan ekonomi, syarikat-syarikat yang dahulunya parah sekarang semakin pulih
dan berbagai transaksi korporat berjumlah ratusan juta mula diusahakan kembali.
Bagaimanapun saya sentiasa was-was dengan bertapaknya syarikat asing dalam
syarikat-syarikat korporat kita. Kita seharusnya mengalu-alukan penyertaan mereka
khususnya yang berteknologi tinggi bagi membolehkan kita bersaing di pentas dunia dalam
suasana globalisasi sekarang ini yang banyak memerlukan tenaga mahir dan pakar.
Namun saya berasa curiga dengan satu perkembangan korporat yang sedang dalam pertimbangan
kini, iaitu pembelian 20 peratus saham syarikat Timedotcom oleh sebuah syarikat milik
kerajaan Singapura iaitu SingTel.
Saya bukanlah anti-Singapura dan bukan pula antiglobalisasi. Tetapi sebagai anak Malaysia
yang mencintai tanah tumpah darah, saya berharap semua yang berkepentingan baik ahli
korporat yang terbabit mahupun pihak agensi kerajaan yang memantau hal ini, akan prihatin
dengan implikasi perkembangan terakhir ini terhadap keselamatan negara dan masa depan
industri strategik seperti telekomunikasi serta multimedia yang kita mahu perkembangkan.
Saya membangkitkan perkara ini kerana sudah dua kali ahli Dewan Negara menyuarakan
kebimbangan mereka terhadap pembelian saham dalam syarikat TimedotCom oleh SingTel. Saya
pun tertanya-tanya mengapa Kerajaan Hong Kong dikatakan tidak membenarkan SingTel
mengambil alih Hong Kong Telecom beberapa bulan lalu.
Soal yang perlu diamati mengenai kemasukan SingTel ialah:
- Apakah implikasinya terhadap matlamat kerajaan hendak menjadikan negara sebagai pusat
industri multimedia?
- Adakah bertapaknya syarikat milik sebuah kerajaan asing dalam industri strategik negara
tidak akan menjejas (compromise) keselamatan negara? Kita tahu Singapura sememangnya
bersaing dengan Malaysia dalam berbagai bidang khususnya telekomunikasi dan multimedia?
Kiranya pihak yang bertanggungjawab pasti penjualan kepada SingTel itu tidak akan
menjejaskan hasrat negara bahkan boleh pula membawa keuntungan, tentunya semua rakyat
Malaysia tidak akan berhalangan.
Tetapi kita harus ikhlas dengan diri sendiri. Jangan kerana keuntungan jangka pendek, kita
menjual maruah bangsa dan negara kerana jika ini berlaku, anak cucu dan keturunan kita
akan menyalahkan kita kelak kerana menggadai maruah bangsa kerana wang ringgit.
Baru-baru ini terdapat laporan mengenai langkah yang sedang dilaksanakan perkhidmatan
perisikan British untuk memajukan sebuah pusat perisikan maya bagi mengawasi semua e-mel
dan mesej Internet yang dihantar dan diterima di Britain. Pusat yang berharga £25 juta
itu akan beroperasi dalam masa setahun di ibu pejabat agensi perisikan balas M15 di
London.
Jika Britain boleh melakukannya, ini bermakna agensi kerajaan lain pun boleh membuat
perkara yang sama jika tidak diawasi dan jika dibenarkan bertapak pula di negara kita.
Saya tidak mahu menuding jari atau membuat tuduhan melulu terhadap negara jiran yang
bersahabat dengan kita. Cuma, rakyat dan pemimpin kita telah banyak kali menimbulkan
keraguan terhadap keikhlasan jiran kita itu dalam banyak perkara dua hala di mana kita
masih menghadapi masalah.
Apakah alasan kita untuk mempercayai bahawa mereka akan ikhlas dengan kita kali ini?
Dalam perkara-perkara yang membabitkan masa depan dan keselamatan negara, kita tidak boleh
berkompromi. Jika kita mempunyai sedikit keraguan pun, kita tidak boleh berjudi dengan
masa depan negara. Janganlah kita bersifat malu alah dalam perkara ini kerana keselamatan
serta matlamat jangka panjang demi kesejahteraan rakyat bukan satu perkara yang boleh
dipandang ringan.
Beribu-ribu rakyat kita dan pasukan keselamatan kita telah mengorbankan nyawa melawan
penjajah dan komunis supaya generasi akan datang dapat hidup dalam keamanan, kesejahteraan
dan tidak dijajah. Kita mahu pihak yang bertanggungjawab, baik korporat atau kerajaan,
meneliti dengan sedalam-dalamnya isu ini sebelum membuat keputusan supaya penjajahan
ekonomi tidak berlaku terhadap kita kerana ini akan menidakkan pengorbanan wira-wira kita
sebelum ini.
Jika kita tidak berhati-hati, generasi akan datang akan menyalahkan kita kerana
mengabaikan tanggungjawab kita terhadap bangsa, agama dan negara.
Pro Malaysia,
Kuala Lumpur.
|
|