PROF Emeritus Tan Sri Dr Awang Had Salleh mentakrifkan jati diri Melayu sebagai
kehadiran rasa terpunya pada diri kepada kumpulan yang dikenali sebagai bangsa sendiri
iaitu bangsa Melayu.
Menurutnya, jati diri boleh hadir dalam diri seseorang individu Melayu apabila dia berasa
bangga atas kecemerlangan bangsanya dahulu dan sekarang.
“Pada waktu yang sama juga, dia gusar atas kerugian yang dialami bangsanya dahulu dan
sekarang.
“Jati diri juga hadir bersama di kalangan orang Melayu seluruhnya sebagai satu
kelompok kolektif dikenali sebagai bangsa Melayu.
“Selain secara kolektif mereka berkongsi nasib, suka-duka dan sejarah yang sama,
mereka juga secara kolektif mempunyai komitmen mempertingkatkan kecemerlangan, memperbaiki
nasib, memperjuangkan kepentingan bangsa mereka sekarang dan masa depan,” katanya.
Menurut beliau, orang Melayu yang kuat jati dirinya berkongsi kekuatan atau kecemerlangan
serta nasib malang bangsanya dalam sejarah dan sekarang.
Jati diri itu, tambah beliau, bertambah kukuh atau sebaliknya bergantung kepada kukuh atau
tidaknya persepsi bangsa Melayu itu ke atas kewujudan lambang budaya bangsanya.
Beliau berkata, bagi orang Melayu di Malaysia, Islam, bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu
menjadi tiga tonggak jati diri mereka.
“Selain itu, asas jati diri Melayu itu termasuklah pepatah ‘ini bumi kupijak,
maka ini langit kujunjung’, peristiwa sejarah, rupa diri, adat resam, kesenian, lagu,
sastera dan seni tari.
“Bagaimanapun, perlambangan ini sekadar memadai tetapi belum mencukupi. Mempunyai
persamaan agama, budaya dan cara hidup membuatkan kita tidak berasa terpinggir.
“Tetapi memiliki persamaan yang begitu saja belum menjamin kita benar-benar akan
memperjuangkan kepentingan dan nasib bangsa kita,” katanya.
Bagi beliau, jati diri Melayu meminta komitmen, semangat dan sikap tidak mengabaikan,
memusnahkan dan tidak memperlekehkan bangsa Melayu.
Sebaliknya, jati diri Melayu itu meminta semangat dan pendirian untuk sentiasa melakukan
segalanya demi kekuatan, maruah dan kesejahteraan bangsa Melayu dan demi mencegah bangsa
daripada tergadai.
Prof Awang Had turut mengemukakan persoalan tidakkah kekuatan jati diri menggugat dan
membantut perubahan dan pemodenan bangsa Melayu.
Menjawab soalan itu, beliau berkata, jati diri Melayu mengandungi dua aspek iaitu
pemilikan persamaan lambang.
Sementara aspek kedua yang lebih penting ialah pemilikan bersama orang Melayu dari segi
semangat, aspirasi, cita-cita, impian, pendirian, kecenderungan dan lain-lain untuk
bersikap dan memperjuangkan sesuatu yang tidak memudaratkan tetapi mendaulatkan dan
memperkasakan bangsa Melayu.
“Aspek bentuk perlambangan bangsa Melayu itu boleh dan selalu berubah dan perubahan
itu tidak penting asalkan ia dikongsi bersama oleh orang Melayu.
“Namun begitu ada bahayanya perubahan lambang itu kerana ia menipiskan dan
melunturkan identiti orang Melayu sehingga menjadikan orang Melayu itu lupa diri,”
katanya.
Mengenai persoalan bagaimanakah jati diri Melayu abad 21, beliau berkata, era globalisasi
mendedahkan kita kepada identiti orang lain dan boleh melunturkan identiti kita bagi
mereka yang rapuh jati dirinya.
“Tetapi ia juga ada kebaikan iaitu bila kita semakin insaf atas keunikan identiti
orang lain, kita akan semakin sedar kepada identiti diri sendiri.
“Globalisasi tidak akan menukar warna kulit dan saya akui globalisasi ini ada
negatifnya kepada identiti diri individu dan bangsanya.
“Hadapinya globalisasi ini dengan mengukuhkan jatidiri dan salah satu caranya ialah
kembali kepada agama Islam iaitu agama perpaduan,” katanya.
Menurut beliau, cara lain mengukuhkan jati diri ialah mempertingkatkan rasa berdosa dan
bersalah atas kesilapan, kesensitifan, ketidak jujuran dan ketidak adilan perlakuan kepada
bangsa, agama dan tanah airnya.